•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Rumawip: Pangsapuri Bertaraf Kondominium Untuk Golongan Berpendapatan Sederhana



Residensi Pandanmas - gambar Bernama
Oleh Fatin Nabihah Marzuki

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Hasrat untuk memiliki rumah sendiri bagi seorang pegawai bank terutamanya di tengah bandar raya akhirnya tercapai menerusi projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), satu inisiatif kerajaan bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri.

Phang Jiun Jiann, 30, berkata pemilikan unit Rumawip sangat berbaloi demi masa hadapan kerana pangsapuri Residensi Pandanmas tersebut, satu daripada projek Rumawip di kawasan bandar raya mempunyai kemudahan bertaraf kondominium.

Unit Rumawip yang berukuran 79 meter dan 84 meter persegi (850 x 900 kaki persegi) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dijual pada harga RM290,000 hingga RM300,000 seunit itu, dilengkapi dengan kemudahan seperti gimnasium, dua kolam renang dan parkir berbumbung.

"Melihat kepada situasi harga kediaman pada masa ini yang begitu mahal membuatkan saya rasa mustahil untuk membeli rumah sendiri terutamanya di kawasan Kuala Lumpur. Namun apabila saya terjumpa iklan mengenai Rumawip di sebuah akhbar, saya segera buat permohonan secara atas talian dan berjaya mendapatkannya kurang daripada dua tahun," katanya kepada Bernama.

Phang berkata golongan muda yang layak hendaklah merebut peluang membuat permohonan membeli Rumawip.

Bagi pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta, Mohammad Noor Bahari, 32, projek Rumawip dapat membantu golongan belia memiliki rumah sendiri.

"Setiap orang sudah tentu ada pasang cita-cita nak ada rumah sendiri tambahan lagi apabila dapat peluang menetap di kawasan yang mudah mendapat akses ke lokasi-lokasi utama di pusat bandar.

"Apatah lagi segala kemudahan asas di kediaman ini seperti dobi, pengurusan bangunan yang cekap dan persekitaran yang bersih membuatkan harga RM300,000 yang dibayar adalah berbaloi," katanya.

Menjelaskan mengenai projek Rumahwip, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebanyak 40,118 unit Rumawip di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (29,030 unit), Putrajaya (8,826 unit) dan Labuan (2,262 unit) siap dibina sejak 2013 sehingga September lalu.

"Sambutan orang awam terhadap Rumawip sangat menggalakkan. Sehingga kini, terdapat 158,180 pemohon berdaftar melalui portal Rumawip.



"?Keperluan penyediaan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan bersesuaian dengan kemampuan membeli rakyat yang menetap di bandar terutamanya golongan berpendapatan sederhana iaitu isi rumah pendapatan kurang daripada RM15,000 sebulan bagi yang berkahwin dan RM10,000 sebulan bagi golongan bujang," katanya kepada Bernama.

Antara projek kediaman Rumawip terlibat ialah Residensi Pandanmas, Residensi Wangsa Meranti, Residensi Puchongmas, Residensi Jalilmas, Residensi Hijauan dan Residensi Semarak Platinum.

Daripada segi angka pembinaan projek Rumahwip mengikut kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan, terdapat 18 projek dengan penawaran 12,972 unit di Parlimen Batu; 16 projek (11,098 unit) di Wangsa Maju; 13 projek (9,917 unit) di Bandar Tun Razak; 12 projek (7,477 unit) di Cheras; masing-masing lapan projek iaitu (6,346 unit) di Seputeh; (2,452 unit) di Lembah Pantai; (4,433 unit) di Setiawangsa; tujuh projek (4,433 unit) di Parlimen Titiwangsa; lima projek (4,726 unit) di Kepong dan satu projek (330 unit) di Segambut).

Wilayah Persekutuan Putrajaya mempunyai dua projek pembinaan dengan 2,906 unit dan di Labuan sebanyak 13 projek dengan 3,016 unit.

"Program Rumawip tidak melibatkan sebarang insentif berbentuk dana daripada Kerajaan Persekutuan dan bergantung sepenuhnya kepada inisiatif daripada pihak swasta atau pemaju mengikut harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM300,000," katanya.

Tengku Adnan berkata nilai keseluruhan projek Rumawip dianggarkan berjumlah RM20 billion.

Rumawip adalah satu inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang menyasarkan penyediaan 80,000 unit rumah mampu milik di seluruh Wilayah Persekutuan menjelang 2020 iaitu 55,000 unit di Kuala Lumpur; 20,000 unit di Putrajaya dan 5,000 unit di Labuan.

Rumawip menyediakan rumah berkualiti dengan keluasan minimum 800 kaki persegi (74.3 meter persegi) dengan kelengkapan tiga bilik tidur, dua bilik air serta satu petak parkir berbumbung. Kemudahan seperti dewan serbaguna, gimnasium, kolam renang, dobi dan gelanggang tenis turut disediakan.

"Bagi pemilik yang berjaya memiliki unit Rumawip, mereka tidak boleh menjual semula kediaman tersebut dalam tempoh 10 tahun selain tidak boleh menyewakannya kepada orang lain. Sekiranya mereka didapati berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil serta-merta," katanya.

-- BERNAMA