•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Ramai Rakyat Malaysia Ingin Kekal Aktif Dalam Pekerjaan Selepas Bersara


Oleh Voon Miaw Ping dan Siti Radzeah Rahmat

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia dijangka terus aktif dalam tenaga kerja dan mencari pekerjaan menjangkaui umur 60 tahun, ini mendorong kepada keperluan mengenai kaedah yang perlu diambil dalam menangani isu pekerja yang semakin tua memandangkan negara bakal menjadi negara menua, demikian menurut satu kaji selidik.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial (SSRC) Universiti Malaya itu menunjukkan bahawa jangkaan jangka hayat lebih tinggi bermaksud individu mesti melewatkan persaraan mereka dan bekerja lebih lama, lebih berjimat ketika bekerja dan mempunyai penggunaan yang lebih rendah dalam persaraan.

"Berikutan penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat, Malaysia kini mengalami peningkatan yang stabil dalam peratusan orang tua berbanding jumlah penduduk.

"Jumlah rakyat Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas dijangka mencecah 3.5 juta pada 2020 dan 6.3 juta pada 2040 iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk," kata Pengarah SSRC Prof Datuk Norma Mansor.

Memetik laporan oleh Jabatan Statistik pada 2016, beliau berkata ia juga menunjukkan seorang lelaki berusia 65 tahun pada 2016 dijangka boleh hidup sehingga umur 80 tahun manakala seorang wanita pula dijangka hidup sehingga 82 tahun.

"Penuaan boleh melibatkan banyak kerugian, termasuk kehilangan kerja dan fungsi fizikal. Bagaimana kita bersedia untuk memenuhi kewajipan kesihatan dan kewangan kita di kemudian hari," katanya dalam laporan bertajuk ?Penuaan dan Persaraan: Persepsi dan Harapan dalam kalangan Rakyat Malaysia' yang disediakan kepada Bernama di sini.

Norma berkata daripada 518 rakyat Malaysia yang memberi respons kepada kaji selidik itu, hampir semua menunjukkan mereka ingin hidup sekurang-kurangnya sehingga usia 80 tahun, namun dari segi kewangan ramai yang tidak yakin akan dapat kehidupan selesa sepanjang tahun persaraan mereka.

Beliau berkata hanya separuh daripada mereka yang ditinjau yakin dapat memiliki kehidupan selesa manakala selebihnya tidak begitu yakin. Para profesional didapati lebih percaya mempunyai kehidupan selesa selepas persaraan berbanding mereka yang tidak profesional.

Menurut laporan yang sama, 70 peratus daripada mereka yang dikaji selidik berkata mereka mengharapkan untuk hidup antara enam ke 20 tahun lagi selepas mencapai usia 60 tahun dan terus bekerja selagi keupayaan mental dan fizikal mereka mengizinkan.

Mereka juga merasakan bahawa persaraan tidak seharusnya menjadi mandatori kerana ia dilihat sebagai satu daripada kaedah paling berkesan bagi ramai individu untuk membiayai peningkatan bilangan tahun bersara.

"Sebagai persediaan untuk pasca persaraan, responden menyatakan rancangan mereka untuk meningkatkan simpanan dengan mengurangkan perbelanjaan semasa dan kos sara hidup ketika persaraan.

"Suku daripada mereka yang ditinjau berhasrat untuk berpindah ke lokasi yang lebih murah, manakala yang lain ingin beralih kepada anggota keluarga bagi bantuan atau mempertimbangkan untuk tinggal di kemudahan penginapan seperti perkampungan persaraan, sejumlah responden pula mengatakan mereka akan beralih kepada kerajaan untuk sokongan hari tua," katanya.

Norma berkata pada masa ini hanya 80 peratus daripada 13.5 juta tenaga buruh yang bekerja di Malaysia mempunyai beberapa bentuk simpanan dan pencen kerajaan walaupun pencen kerajaan bukan penyumbang.

Katanya sebagai persediaan untuk peningkatan bilangan tenaga kerja menua, organisasi perlu berfikir sekarang tentang bagaimana mereka akan berurusan dengan perubahan itu dengan cara sesuai untuk industri dan pekerja mereka.

Menurut beliau, pekerja juga harus bersedia untuk meningkatkan kemahiran mereka dan menjalani latihan.

Norma turut mendedahkan bahawa Pusat itu sedang berusaha membuat pelan tindakan untuk penuaan dan bagaimana untuk mempersiapkannya di Malaysia.

"Pekerjaan pasca persaraan mungkin memerlukan bidang kerja yang berlainan, yang mana seseorang mungkin mendapatinya lebih menarik. Mengenai isu menggaji orang selepas bersara, ini adalah masalah buruh," katanya.

Beliau menegaskan bahawa memandangkan isu kewangan adalah sebab penting bagi pesara kembali ke pasaran pekerjaan, majikan harus mempertimbangkan untuk menawarkan 'pekerjaan sementara' sama ada sepenuh atau separuh masa sebagai lanjutan kepada pekerjaan semasa yang membantu meringankan peralihan pekerja ke alam persaraan.

Memetik Singapura sebagai contoh, beliau berkata Kredit Pekerjaan Khas (SEC) yang diperkenalkan negara itu pada 2011 untuk menyokong majikan dan meningkatkan kebolehpasaran pekerja Singapura yang lebih tua dan orang kurang upaya, menyediakan pengimbang gaji kepada majikan yang menggaji pekerja berumur 55 tahun dan ke atas sehingga mencapai umur penggajian semula iaitu 67 tahun.

Di Australia, katanya menerusi Wage Subsidies for Matured Age Job Seekers (RESTART), majikan boleh menerima sehingga $10,000 bergantung kepada kelayakan pekerja sepenuh masa manakala di Jepun, kerajaannya menyediakan program subsidi di bawah ?Law for Employment Stabilization for Older People' kepada majikan sama ada terus menggaji pekerja lama sedia ada atau mengupah orang yang lebih tua.

-- BERNAMA