•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Polis Guna Dron Rakam Gambar Lokasi Kejadian Kebakaran Tahfiz



KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Polis hari ini meneruskan siasatan terhadap tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini dengan menggunakan dron bagi merakamkan lokasi kebakaran dari udara.

Menurut sumber, dron yang dikendalikan Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman itu diterbangkan dari belakang pusat tahfiz tersebut pada 11 pagi tadi.

"Teknologi ini diperlukan pasukan forensik polis bagi merakamkan visual lokasi kejadian dari pelbagai sudut untuk siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Terdahulu, kira-kira 10 anggota dan pegawai pasukan forensik polis tiba di pusat tahfiz itu bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kebakaran tersebut.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan berkenaan masih dikawal rapi dengan penempatan balai polis bergerak selain terus menerima kunjungan orang ramai.

Pada awal pagi Khamis lepas, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden di pusat tahfiz itu maut selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat berkenaan.

Susulan kejadian, polis menahan reman tujuh remaja yang disyaki terbabit dalam perbuatan khianat membakar pusat tahfiz tersebut.

-- BERNAMA