•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Sikap Positif Dalam Hubungan Dua Hala Menguntungkan - Zulhasnan



Daripada Mokthar Hussain

WASHINGTON DC, 10 Sept (Bernama) -- Tan Sri Zulhasnan Rafique, 62, sudah lapan bulan menjadi duta besar di Amerika Syarikat dan menggalas tugas mencabar.

Ini kerana secara kebetulan berlaku pertukaran kepimpinan di negara kuasa besar itu dengan tokoh perniagaan Donald Trump dipilih menjadi presiden Amerika Syarikat ke-45, menggantikan Barack Obama.

Lantas, timbul kekhuatiran perubahan dasar Amerika yang mungkin memberi kesan negatif apabila pentadbiran Trump mengutamakan dasar 'America First' (Amerika Didahulukan) disusuli tindakan pembatalan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang turut melibatkan Malaysia

Terbaru, menjelang kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke 'Oval Office' di Rumah Putih pada 12 Sept, timbul pula reaksi negatif oleh media tertentu Amerika yang turut bersikap dingin terhadap Trump.

"Saya melihatnya secara positif. Kita mahu terus bergerak ke hadapan dan saya telah berada di sini selama lapan bulan. Di Amerika Syarikat, komen negatif di sini merupakan perkara biasa," kata Zulhasnan di sini pada Sabtu semasa memberikan taklimat kepada wartawan Malaysia menjelang lawatan kerja Najib ke ibu negara Amerika ini atas undangan Trump.

"Jika mereka mahu memberikan komen negatif, mereka bebas berbuat demikian tetapi kita perlu melihatnya secara positif," kata duta itu dan menurutnya Malaysia akan menumpukan pada perkara-perkara yang bermanfaat untuk negara.

"Saya fikir itulah juga bagaimana perdana menteri melihatnya (pertemuan dengan Trump)," katanya.

Najib dijadual tiba di sini bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 11 Sept sebelum pertemuan dengan Trump yang dijadual berlangsung pada pagi Selasa.

Menurut Zulhasnan, kedua-dua pemimpin dijangka menilai status kerjasama dua hala serta meneroka peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 60 tahun.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pengalamannya bersama kabinet dalam kerajaan pusat sebelum ini membantunya sebagai seorang duta untuk melihat secara terbuka pelbagai isu yang melibatkan hubungan dua hala.

Katanya, undangan oleh Presiden Trump kepada Najib melambangkan pentingnya Malaysia dalam perkongsian strategik dalam isu serantau dan antarabangsa.

Delegasi Malaysia antara lain merangkumi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Ditanya hubungan akrab Malaysia dan China, Zulhasnan berkata beliau tidak nampak ia menimbulkan masalah kepada hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, dan ia bukanlah sesuatu yang harus menimbulkan kebimbangan.

Menurutnya, adalah sesuatu yang baik berniaga dengan mana-mana negara yang mahu melabur di Malaysia.



-- BERNAMA