•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Menanti Pan Borneo Dengan Penuh Sabar



Oleh Abdul Aziz Harun

KUCHING, (Bernama) -- Apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun lalu memuktamadkan bahawa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pujut di Miri yang direncanakan pada awalnya tidak perlu diadakan, ada sebilangan petugas media di sini yang terbabit secara tidak langsung dengan pilihan raya itu menarik nafas lega.

Ia bukannya disebabkan sebarang kaitan dengan agenda politik, tapi lebih kepada 'jenuh' memikirkan soal perjalanan lebih 800km dari sini melusuri bukit dan lembah yang perlu ditempuh semata-mata untuk bertugas buat sementara waktu semasa tempoh 'demam pilihan raya' itu sekiranya diadakan.


PM Najib merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, jajaran Simpang Bintangor ke Jambatan Sungai Kua pada 17 April 2016


Ia bukanlah sesuatu yang tidak pernah atau tidak boleh dilakukan, cuma bagi Zulazhar Sheblee, jurufoto sebuah media tempatan, ia pengalaman yang cukup memenatkan, dan masih terngiang-ngiang kata-kata Ketua Menteri Keenam Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem mengenai taraf jalan darat dari Kuching ke Miri yang menurutnya 'boleh patah pinggang'.

Projek lebuh raya selesa menghubungkan bahagian Kuching di penghujung barat daya Sarawak sehingga nun ke timur laut di Miri bukanlah sesuatu yang baharu, malah bagi Zulazhar, 40-an, beliau telah mendengar mengenainya sejak berpuluh tahun lamanya.

Menurutnya projek Lebuhraya Pan Borneo itu sebelum ini sering dijaja dengan nama 'Trans Borneo'.


Pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak jajaran Semantan-Miri pada 18 Disember 2016



Pada 2013 kerajaan persekutuan membawa berita gembira buat penduduk apabila menyelitkan tekad membangunkan Pan Borneo, lebuh raya sepanjang kira-kira 2,000km tanpa tol untuk perjalanan lebih selesa dari penghujung barat daya di Sarawak, menghala terus 'mengelilingi' Sabah sehingga ke Serudong di Sabah, sebagai satu daripada manifesto pilihan raya umum Barisan Nasional (BN).

Ternyata ia bukan janji kosong apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 memuktamadkan bahawa pembinaan lebuh raya yang dianggapnya akan menjadi pencetus perubahan kepada penduduk tempatan itu, tetap akan dibangunkan tanpa mengira walau apa keadaan ekonomi dunia semasa, walau semasa harga komoditi utama negara tidak menentu ketika ini.

Lebuh raya tanpa tol yang dianggar bernilai lebih RM29 billion (RM16.49 billion buat laluan di Sarawak dan RM12.86 billion di Sabah) itu perlu dibangunkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi, kerana rakyat Sarawak serta Sabah sudah lama menunggu, dan agenda Transformasi Nasional (TN50) yang turut menekankan kepada soal 'inklusif' harus dijunjung tinggi.

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka siap sekitar tahun 2023.

Desakan tugas membuatkan Abdul Hadi Abdullah, 52, seorang kontraktor di sini, terpaksa berulang alik menggunakan jalan darat antara Kuching, Miri dan sesekali sehingga ke Limbang, dan adakalanya beberapa kali dalam tempoh sebulan.

Beliau bersyukur kerana kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya mantap untuk menempuh perjalanan jauh itu, namun beliau tetap akur biar hebat macam mana sekalipun kenderaan yang dipandu, ia tetap sering terpaksa berbaris panjang di belakang 'lori besar yang terhegeh-hegeh' di kebanyakan laluan sepanjang perjalanan.

Kini beliau menanti dengan penuh harapan, lega melihat di kiri-kanan yang dilaluinya sudah kelihatan kerja-kerja untuk melebarkan jalan, jentolak sudah tidak terkira banyaknya dapat dilihat di kebanyakan tempat di sepanjang perjalanan.

Suasana berdebu dan adakalanya becak sewaktu hujan di tepi-tepi laluan ini tidak menjadi rungutan, kerana apa yang dilihatnya ialah laluan tiga atau empat lorong yang dijanji, sedang gigih diusahakan kerajaan.

Sebagaimana kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, "datanglah lihat sendiri pembangunan Pan Borneo ini. Ia bukan projek untuk memancing undi semasa pilihan raya semata-mata, pembangunan fizikal sedang pesat berlaku, bukan omongan sahaja,".

Bagi Edward Stephen Subeng, 60-an, yang sering berulang alik antara Kuching dan Sibu selama tempoh kira-kira tiga tahun semasa bertugas sebagai penjawat awam di Kuching, beliau ada tiga pilihan untuk pulang ke Sibu untuk bersama-sama isteri dan anak-anak mungkin sekali atau dua kali dalam tempoh sebulan, iaitu sama ada dengan menaiki kapal terbang, menaiki bas, atau memandu sendiri.

Untuk menaiki kapal terbang, masalahnya berkisar kepada soal kos yang tinggi untuk tempoh cuti yang singkat, manakala bagi penggunaan bas ia akan menimbulkan masalah pergerakan yang terbatas apabila berada di Sibu nanti, manakala untuk memandu masalah adalah sama seperti Abdul Hadi, iaitu 'beratur panjang di belakang lori di kebanyakan laluan' sepanjang perjalanan, sekaligus memendekkan lagi tempoh cuti yang sedari awal sememangnya pendek.

Mungkin kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini mengenai perkembangan Pan Borneo akan dapat tambah menceriakan Abdul Hadi, Edward, dan lain-lain 'pengembara' yang senasib dengannya.

Menurut menteri anak jati Sarawak itu, walaupun tiga jajaran Pan Borneo ketika ini mengalami sedikit kelewatan disebabkan sedikit kesulitan dalam soal pengambilan tanah, namun sembilan jajaran yang lain bukan sahaja berjalan dengan lancar, malah dapat disiap lebih awal daripada perancangan, dan beliau yakin keseluruhan 12 jajaran lebuh raya itu akan disiapkan mengikut jadual.

-- BERNAMA