•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Pemburu Haram Bawa Ancaman Terbesar Kepada Kawasan Pemuliharaan Sabah



Bangkai seekor gajah yang ditembak oleh pemburu haram dijumpai awal tahun ini berhampiran Hutan Simpan Kawag di Lahad datu Sabah
Fokus Berita Oleh Emin Madi

TONGOD, (Sabah) (Bernama) -- Aktiviti pemburuan haram terus menjadi ancaman terbesar kepada pemuliharaan hidupan liar di Sabah, menurut seorang pakar yang menegaskan bahawa kunci utama untuk menangani masalah ini ialah memperkukuhkan penguatkuasaan di sekitar zon penampan.

"Sekiranya aktiviti pemburuan haram ini tidak dihentikan, populasi spesies hidupan liar yang dilindungi dan terancam di negeri ini akan menyusut dalam masa singkat," kata Ketua Eksekutif Sabah Environmental Trust Dr Rahimatsah Amat kepada Bernama.

Beliau merupakan antara 100 peserta yang mengambil bahagian dalam ekspedisi 10 hari di Batu Timbang, sebuah kawasan di barat daya Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak (ICCA) di tengah Sabah, baru-baru ini.

Ekspedisi itu dibiayai oleh Petronas di bawah Kerjasama Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak Yayasan Sabah-Petronas.

Rahimatsah berkata penting untuk meningkatkan kehadiran pegawai penguatkuasaan di sepanjang zon penampan dan mengurangkan cubaan oleh pemburu haram untuk menceroboh teras kawasan pemuliharaan itu.

"Sekiranya kita boleh melakukannya, kita akan dapat meminimumkan kemasukan (pemburu haram) ke kawasan pemuliharaan," katanya.

Isu berkenaan merupakan antara yang diperhatikan semasa ekspedisi itu di kawasan strategik antara kawasan teras ICCA, dan hutan tebal bersebelahannya, serta gua batu kapur di Hutan Simpan Batu Timbang.

Kerja-kerja lapangan mengesahkan berdasarkan pengawasan dan pemantauan awal oleh kakitangan ICCA bahawa kawasan Batu Timbang menjadi 'hot spot' bagi pemburu haram.

Rahimatsah berkata kehadiran hidupan liar yang sedikit di kawasan teras itu mungkin disebabkan kegiatan pemburuan haram yang berleluasa. Terdapat juga kesan grafiti pada pokok-pokok, tambahnya.

"Ancaman terbesar buat ICCA, atau semua kawasan pemuliharaan di Sabah seperti Maliau Basin dan Lembah Danum, adalah aktiviti pemburuan haram," katanya.

Antara dapatan semasa ekspedisi itu yang bermula pada 16 Ogos lepas, adalah penemuan tapak kaki Tembadau atau Banteng (lembu liar) yang dilindungi serta lapan spesies tumbuhan hiasan, Begonia. Empat daripadanya adalah baharu dalam bidang sains.

Peserta ekspedisi itu terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah dan Muzium Sabah, serta beberapa universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF Malaysia, Program Pemuliharaan Orangutan HUTAN-Kinabatangan dan Sabah Environmental Trust.

Seramai 13 wartawan daripada pelbagai organisasi media dan wakil daripada Tourism Malaysia yang dibawa melawat ke ICCA bersempena dengan ekspedisi itu, berpeluang menyaksikan kerja-kerja dilakukan saintis dan penyelidik ketika melintasi hutan dan berhadapan dengan cuaca buruk.

Ekspedisi saintifik 2017 itu bertujuan mendapatkan maklumat saintifik khususnya berkaitan biodiversiti, ciri-ciri fizikal, cabaran dan ancaman di kawasan itu.

Batu Timbang adalah satu daripada beberapa lokasi di ICCA yang diperuntukkan untuk penubuhan stesen penyelidikan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pengurusan Strategik ICCA 2014-2023.

Ini akan membolehkan pengurusan cekap di zon penampan ICCA yang berkesan serta menilai potensi kerjasama dengan masyarakat sekitar untuk meminimumkan ancaman kepada kawasan teras ICCA.

Satu lagi dimensi zon penampan, yang kebanyakannya hutan terjejas, adalah untuk mewujudkan hubungan antara kawasan dilindungi dan kawasan lebih luas yang mengelilinginya.

Petronas dan Yayasan Sabah mengumumkan kerjasama mereka untuk memulihara ICCA pada 2011, yang merangkumi penubuhan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak bernilai RM77 juta yang telahpun siap.

-- BERNAMA