•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Rukun Haji: Persiapkan Mental, Fizikal Hadapi Wukuf - Jemaah Malaysia


Daripada Elmi Rizal Elias

MAKKAH, 25 Ogos (Bernama) -- Dalam tempoh tidak sampai seminggu sebelum jemaah haji dari seluruh dunia bergerak untuk Hari Wukuf, pelbagai persiapan dibuat termasuk oleh jemaah Malaysia bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

Selain menghadiri ceramah dan taklimat yang disampaikan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas) berhubung rukun Islam kelima itu, jemaah haji Malaysia juga mengambil peluang mempersiap diri bagi menghadapi detik-detik penting itu daripada segi mental dan fizikal.

Bagi Hafisz Rachman, 36, beliau menggunakan kesempatan berjumpa Pihtas Lembaga Tabung Haji (TH) di maktab penginapannya bagi merungkai kemusykilan berkaitan ibadah haji supaya tiada yang tertinggal semasa operasi masyair melibatkan wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

"Ceramah-ceramah yang diadakan sememangnya cukup berguna untuk mengulang kaji amalan-amalan yang perlu dilakukan ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina," katanya yang merupakan pengurus besar Permodalan Satok Bhd dan berasal dari Kuching, Sarawak.

Selain itu, Hafisz yang ke Tanah Suci bersama-sama ibunya, Ainon Sabri, 62, berkata beliau juga membuat persediaan fizikal supaya kekal sihat dan bertenaga apabila melaksanakan operasi masyair kelak.

Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji dan merupakan rukun haji yang kedua tetapi paling utama berbanding rukun haji lain.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan 1 Zulhijjah pada 23 Ogos manakala Hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah (31 Ogos).

Sementara itu, Mohd Nadzri Bistamam, 46, yang ke Tanah Suci bersama-sama enam lagi anggota keluarganya, berkata menjelang Hari Wukuf tidak beberapa hari lagi, mereka sekeluarga mengurangkan aktiviti ke Masjidil Haram supaya tidak kepenatan apabila terlibat dalam operasi masyair nanti.

"Sebelum ini, kami banyak melakukan umrah sunat. Tetapi, dengan keadaan cuaca yang panas, kami kini kurangkan aktiviti ke Masjidil Haram supaya kami berada dalam keadaan sihat semasa Hari Wukuf," katanya yang tiba di Makkah pada 2 Ogos lepas.

Beliau yang menjalankan perniagaan sendiri dan kini menetap di Shah Alam turut mengambil peluang berjumpa dengan pembimbing ibadah di bangunan penginapannya di sini bagi mendapatkan lebih penjelasan berhubung ibadah haji.

"Memang ia suatu cabaran (dalam operasi masyair) tetapi peluang ini bukan senang nak dapat, dan Insya-Allah kami akan tempuhinya dengan penuh kesabaran supaya mendapat haji yang mabrur," katanya.

-- BERNAMA