•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Stadium Merdeka : Catat Pelbagai Peristiwa Bersejarah


Fokus Berita Oleh Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- 'Stadium kebanggaan rakyat' yang juga ikon warisan negara, itulah gambaran tepat buat stadium sukan pertama negara, Stadium Merdeka, yang kini mencecah usia 60 tahun pembinaannya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017, 'Stadium Merdeka' yang menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, akan menjadi binaan utama di Dataran Merdeka untuk rakyat Malaysia merasai sendiri imbasan peristiwa bersejarah pada tanggal itu.

Tidak ramai yang tahu bahawa selain menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan, stadium itu turut mencatatkan pelbagai nostalgia dan memori buat rakyat apabila sebahagian daripada RM2.3 juta kos pembinaannya diperoleh menerusi kutipan derma orang ramai.

Menurut sumber penulis buku Stadium Merdeka 'Monumen dalam Lipatan Sejarah', stadium berkeluasan lima hektar di Jalan Stadium di sini itu direka bentuk jurutera Jabatan Kerja Raya Persekutuan S E Jewkes dan pembinaannya hanya mengambil masa setahun.

Ia mula dibina pada Julai 1956 dan siap sepenuhnya pada 21 Ogos 1957, sebelum dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 24 Ogos dan menjadi venue pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu.

Idea pembinaan stadium itu dicetuskan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ketika itu merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak (FAM) apabila pasukan bola sepak negara memerlukan sebuah stadium ekoran satu-satunya stadium di Jalan Ampang dimusnahkan tentera Jepun sekitar 1945.

Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti lapan lorong trek sintetik 400 meter, sebuah padang bola sepak dilengkapi empat menara lampu limpah setinggi 45 meter, bilik perubatan, bilik kawalan polis, empat bilik persalinan, bilik pengadil serta bilik kawalan menjadikan ia setanding dengan stadium antarabangsa negara lain pada masa itu.

Stadium yang menjadi venue pilihan penganjuran pelbagai acara sukan di peringkat antarabangsa dan dunia itu dilengkapi kira-kira 22,000 tempat duduk dengan 3,000 daripadanya terletak di bawah bumbung.

Mokhtar Dahari, Ali Bakar, Santokh Singh, James Wong, Namat Abdullah, Dollah Salleh, Soh Chin Aun dan R. Arumugam merupakan antara nama besar arena sukan bola sepak negara yang digilap menerusi kejohanan bola sepak tertua di Asia iaitu Pesta Bola Merdeka, acara tahunan sejak 1957 hingga 1995 di stadium itu.

Selain Pesta Bola Merdeka, stadium yang pernah diuruskan Perbadanan Stadium Merdeka itu turut menjadi venue pilihan kejohanan sukan antarabangsa antaranya temasya sukan terbesar di Asia Tenggara iaitu Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) pada 1965 dan 1971, perlawanan Hoki Piala Dunia 1975 serta Sukan SEA pada 1977 dan 1989.

Stadium Merdeka juga pernah menjadi tuan rumah pertandingan tinju terbesar dunia yang menyaksikan pertarungan antara legenda tinju dunia Muhammad Ali dan Joe Bugner, dalam merebut Tali Pinggang Tinju Heavyweight Sedunia pada 1975.

Selain itu, acara lain yang pernah mengambil tempat di stadium itu ialah Musabaqah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 1958, Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan pelbagai konsert hiburan melibatkan artis terkenal seperti Michael Jackson, Mariah Carrey, kumpulan rock legenda Jon Bon Jovi dan Scorpions.

Pernah ada cadangan untuk merobohkan Stadium Merdeka pada akhir 1990an, susulan pengurusannya yang diserahkan kepada United Engineers Malaysia (UEM) pada 1994 sebagai balasan selepas UEM membina lima stadium di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan dua stadium di Bukit Kiara untuk Sukan Komanwel ke-16 pada 1998.

Bagaimanapun ia berjaya diselamatkan hasil desakan orang ramai serta pencinta warisan yang mahu bangunan itu dikekalkan untuk generasi akan datang dan pada Februari 2003, Stadium Merdeka dinamakan sebagai bangunan warisan kebangsaan.

Pada 2007, kerja-kerja membaik pulih stadium dilakukan bagi membolehkan Stadium Merdeka kembali ke bentuk asalnya dan pengurusannya kemudian diambil alih oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan diserahkan kepada Badan Amanah Warisan Merdeka untuk diselenggara dan dipulihara nilai sejarahnya.

Selepas enam dekad berlalu, stadium itu masih berdiri utuh sebagaimana reka bentuk asalnya serta menjadi kebanggaan kepada mereka yang melalui dan memandangnya.



-- BERNAMA