•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




650 Jemaah Haji Malaysia Rasai Pengalaman Menaiki MMMSL


Fokus BeritaDaripada Rhoma Ahmad Razali

MAKKAH, (Bernama) -- Sejumlah 650 jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berpeluang merasai pengalaman menaiki tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) yang dikendalikan syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) di sini pada Rabu.

Pengalaman menaiki tren yang diiktiraf sebagai sebagai yang paling padat dan tersibuk di dunia itu diperoleh apabila mereka terlibat menjayakan simulasi keselamatan tren itu, yang dilakukan Prasarana menjelang operasi sebenar bermula 29 Ogos ini.

Rata-rata mereka melahirkan rasa gembira dengan pengalaman itu dan kagum dengan kemampuan syarikat dari tanah air mengendalikan perkhidmatan tren yang amat penting itu semasa musim haji.

Jemaah haji, Abdul Yuzin Md Yassin berkata pengalaman menaiki tren itu cukup menggembirakan kerana beliau dapat merasai sendiri pengangkutan yang diuruskan oleh rakyat Malaysia di Tanah Suci itu.

Katanya walaupun perkhidmatan tren seumpama itu terdapat di Malaysia, namun peluang merasai menaiki pengangkutan itu di Tanah Suci amat bermakna.

"Saya amat teruja dan tumpang gembira dengan kejayaan anak-anak Malaysia di Arab Saudi mengendalikan tren ini dan ia bukan hanya sumbangan terhadap syarikat Prasarana tetapi juga kepada negara," katanya.

Abdul Wahid Sulaiman pula berkata beliau amat kagum kerana tren MMMSL bukan sahaja dikendalikan syarikat negara, tetapi turut diterajui oleh seorang wanita dari Malaysia.

Beliau berkata kemampuan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) Masnizam Hisham yang bertanggungjawab terhadap operasi tren itu adalah sesuatu yang membanggakannya sebagai rakyat Malaysia.

"Saya merasa amat bangga kerana seorang wanita dari Malaysia menerajui operasi tren yang amat besar dan penting di Arab Saudi," katanya.

Sementara itu, pengendali pakej haji dan umrah Datuk Md Daud Che Ngah berkata Prasarana yang mengendalikan tren itu sejak 2015 telah mempamerkan prestasi yang amat baik, sekali gus mencerminkan kemampuan syarikat negara dalam menguruskan sesuatu projek atau operasi besar pada peringkat antarabangsa.

"Saya berdoa supaya kerajaan Arab Saudi akan menyambung khidmat Prasarana untuk mengendalikan tren itu kerana sejak 2015 syarikat itu telah berjaya menguruskannya dengan baik," katanya.

Tren MMMSL akan beroperasi selama tujuh hari, khusus untuk musim haji bermula pada 29 Ogos ini dan dijangka akan membawa kira-kira 350,000 jemaah antara sembilan stesennya yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Berikutan kedudukan khemah jemaah haji di kawasan Tanah Suci Mekah yang telah ditetapkan berdasarkan lokasi negara, hanya jemaah dari Timur Tengah dan Asia Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka yang berpeluang menggunakan perkhidmatan tren tersebut.

Kedudukan khemah jemaah Malaysia pula terlalu jauh, tidak kurang dari 8km berjalan kaki untuk sampai ke stesennya. Untuk menggunakan perkhidmatan MMMSL, mungkin terpaksa berjalan kaki tidak kurang 8km untuk sampai ke stesennya. -- BERNAMA