•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Orang Muda Jangan Pandang Mudah Nikmat Kemerdekaan Negara



Fokus Berita Oleh Mohd Fakri Awang Lah

KOTA BHARU, (Bernama) -- "Orang muda jangan pandang mudah dengan kemerdekaan negara. Kena mengaji (belajar) betul-betul kerana kita nak perintah negeri. Kalau tak sekolah macam mana nak perintah negeri.



"Kita sayangkan kemerdekaan yang telah dikecapi. Susah-payah (pejuang terdahulu) nak dapatkannya (merdeka). Bila dah merdeka, ikut kita nak buat apa pun dengan negara kita.

"Saya begitu gembira bila dapat tahu Tanah Melayu akan merdeka (selepas melalui zaman peperangan). Tapi anak-anak zaman sekarang, mereka tak begitu peduli (dengan kemerdekaan), "demikian ujar Umar Senik, 89.

Beliau ditemui di Kampung Gong Tengah di sini untuk mendapat pandangannya mengenai sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lagi.

Beliau berkata generasi muda perlu memahami bahawa negara yang berada dalam keadaan huru hara bakal menempuh zaman sukar dari segi kehidupan harian dan juga ekonomi.

"Pada zaman perang, kami terpaksa menggunakan guni beras dan jika koyak, tiada benang mahupun jarum untuk menampal tempat yang koyak. Minyak tanah juga sukar untuk didapati dan penduduk terpaksa menggunakan minyak kelapa untuk menyalakan pelita. Begitu juga untuk mendapatkan mancis. Kami terpaksa mencipta sejenis alat dipanggil 'gobek api' yang boleh menghasilkan bara untuk menghidupkan api.

"Dari segi makanan, ubi kayu menjadi makanan paling popular untuk melangsungkan hidup kerana ia tidak dirampas oleh tentera Jepun. Susah nak jumpa beras dan bahan makanan lain kerana amat terhad," katanya.

Umar yang ketika itu baharu berusia 14 tahun masih mengingati detik-detik awal kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu yang mendarat di Pantai Pak Amat pada tengah malam pada 8 Dis 1941.

"Masa tu saya dan beberapa rakan saya sedang melihat dikir barat berdekatan tempat askar upahan British melakukan kawalan di pesisir Pantai Pak Amat selepas solat Isyak.

"Ketika kami sedang asyik melayan lagu-lagu dikir barat, seorang askar upahan British berbangsa Punjab datang dan menyuruh kami semua balik kerana dia mendapat maklumat yang Jepun akan melakukan serangan ke Tanah Melayu pada malam itu.

"Apa lagi kami terus bersurai, tapi kami tidak terus balik, sebaliknya kami memilih untuk bermain-main di sebuah madrasah berdekatan, sebelum tiba-tiba kami terdengar bunyi tembakan meriam berdas-das dari arah laut di sekitar pantai dan disusuli tembakan balas dari senjata jenis mesingan dari arah darat," katanya.

Umar berkata ketika itu beliau menyangka askar upahan British hanya melakukan latihan kerana desas-desus peperangan mungkin akan berlaku telah tersebar.

Beliau berkata namun selepas beberapa ketika datang beberapa orang tua ke madrasah berkenaan dan menyuruh mereka pulang kerana peperangan telah bermula.

"Sekitar pukul 3 pagi, tentera Jepun mula mendarat di Pantai Pak Amat berdekatan rumah saya. Saya masih ingat ketika keadaan mula huru hara, dua wanita maut akibat ditikam dengan bayonet manakala dua lelaki terbunuh kerana ditembak oleh tentera Jepun.

"Pada waktu itu juga, saya mencari sebuah kawasan lapang berpasir yang tidak terlibat dengan peperangan untuk menggali lubang perlindungan bagi mengelak serangan udara oleh tentera Jepun," katanya.

Beliau berkata beliau tidak sempat menjamah sebarang makanan sepanjang tiga hari pertama peperangan berlaku kerana takut ditembak dan bersembunyi di dalam lubang perlindungan bersama-sama keluarganya..

Beliau berkata seorang yang dipercayai perisik Jepun bernama Kawasaki yang sebelum peperangan meletus menyamar sebagai buruh telah memberitahu agar digali lubang perlindungan kerana tentera Jepun akan membuat serangan udara.

"Selepas tiga hari berada di dalam lubang perlindungan, saya pulang ke rumah dan mencari makanan, namun semuanya telah dirampas tentera Jepun. Beras yang dijual di kedai runcit juga telah habis dirampas oleh mereka.

"Mujurlah kebun pisang jiran yang ketika itu sedang berbuah tidak diusik mereka dan kami sekeluarga hanya makan pisang bagi mengisi perut yang kelaparan," katanya.

Sebagai kenangan zaman pendudukan tentera Jepun, Umar masih dapat menghafal lagu wajib "Aikoku Koshinkyoku" yang mesti dihafal oleh penduduk Tanah Melayu Malaya ketika penjajahan Jepun dari 1941 hingga 1945.

"Miyo! Tokai no sora akete, Kyokujitsu takaku kagayakeba, Tenchi no seiki hatsuratsu to, Kibo wa odoru Oyamashima," nyanyinya dengan lancar.



-- BERNAMA











FBA BD RV