•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Jalan TAR Jadi 'Lombong Emas' Sepanjang Ramadan



Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

(Bahagian pertama daripada artikel tiga siri mengenai peluang keemasan yang wujud di Jalan Tunku Abdul Rahman semasa Ramadan)


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Sepanjang Ramadan al-Mubarak, Jalan Masjid India, Jalan Bunus 6 dan Lorong Tunku Abdul Rahman (Lorong TAR), yang terletak sebelah-menyebelah di tengah-tengah bandar raya ini, bertukar menjadi 'lombong emas' bagi mereka yang berniaga di lot bazar Ramadan di situ.



Apa tidaknya! Mereka mampu meraih beribu-ribu ringgit, malah ada yang menjadi jutawan pada penghujung bulan yang mulia itu hasil daripada pendapatan lumayan yang diperoleh apabila lebih setengah juta orang bertumpu ke situ untuk membeli-belah bagi menyambut Aidilfitri.

Disebabkan peluang yang wujud itu juga, ada individu tamak, yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan sebanyak mungkin lot gerai yang ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mereka sewakan pula kepada peniaga tempatan dan asing dengan mengenakan kadar sewa hingga 70 kali ganda lebih tinggi daripada yang mereka bayar kepada DBKL.

Melalui pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan, Bernama mendapati sesetengah peniaga kecil yang menjual pakaian, makanan dan minuman atau barangan elektronik di lot Ramadan berukuran kira-kira 100 kaki persegi di situ, dikenakan bayaran sekurang-kurangnya RM20,000 oleh penyewa individu, sedangkan kadar yang dikenakan DBKL ialah antara RM350 dan RM700 sahaja, mengikut saiz lot, dan jumlah itu termasuk bayaran lesen serta caj pembersihan.




DBKL memperuntukkan lot berkenaan kepada peniaga melalui sistem pengundian.

Persoalannya ialah kenapakah ada peniaga yang sanggup membayar sewa hingga setinggi itu, sedangkan pusat beli-belah serba mewah yang dilengkapi penyaman udara, persekitaran yang selesa dan menyediakan lot lebih luas, boleh disewa hanya pada kadar antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan bagi lot bersaiz 300 kaki persegi.

Seorang peniaga Ahmad Fauzi berkata walaupun perlu membayar sewa RM27,000 bagi lot berukuran 100 kaki persegi di Jalan Masjid India sepanjang Ramadan, dia tidak kisah untuk membayarnya.

Peniaga itu berkata dia boleh meraih keuntungan hampir RM150,000 daripada jualan baju raya sahaja sepanjang Ramadan.

Beliau mendakwa tahun lepas, dia meraih pendapatan hampir setengah juta ringgit daripada tiga lot yang disewanya dan ada beberapa peniaga mencatat jualan hingga RM1 juta melalui perniagaan yang dijalankan selama sebulan itu.

"Di sini macam lombong emas, jualannya bagus kerana ramai pengunjung. Sebab itulah peniaga tak kisah tentang kadar sewanya yang tinggi," kata peniaga itu.

Seorang lagi peniaga di Lorong TAR yang hanya mahu dikenali sebagai Maziah, berkata dia meraih pendapatan hampir RM50,000 pada Ramadan tahun lepas dengan menjual kuih raya di lot berukuran 64 kaki persegi, dengan kadar sewanya RM10,000.

Kata wanita itu, walaupun kadar sewa itu terlampau tinggi, tetapi pulangan daripada pelaburannnya sungguh besar.

"Saya berniaga di sini dah lebih 10 tahun. Orang datang tak putus-putus, sebab itulah peniaga sanggup bayar sewa yang tinggi, walupun kadarnya macam tak munasabah," kata wanita itu.

Mengenai risiko dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa kerana dia bukan peniaga yang berdaftar bagi lot berkenaan, Maziah berkata: "Setelah membuat bayaran, kami boleh terus berniaga macam biasa kerana semuanya ditanggung beres oleh peniaga yang berdaftar bagi lot itu".

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali, mendakwa bagi lokasi tertentu di Jalan TAR, kadar sewa yang dikenakan bagi satu lot sepanjang Ramadan ialah setinggi RM40,000 dan ini termasuk "yuran perlindungan" untuk dibayar kepada samseng bagi menjaga kehadiran mereka di situ.

Sementara itu, menurut DBKL, adalah menjadi kesalahan bagi peniaga yang mendapat lot bazar menyewanya pula kepada orang lain dan mereka yang didapati berbuat demikian akan disenaraihitamkam. Mereka juga akan dikenakan kompaun RM1,000, manakala barangan mereka dirampas.

DBKL memperuntukkan hanya 400 lot Bazar Ramadan tahun ini, berbanding 500 tahun lepas.

-- BERNAMA