AM › BERITA





Program Fiesta Sehati@RTM Jelajah Ke Seluruh Negara


Tarikh kemaskini: 09/02/2018


Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil menunjukkan kereta mewah yang disiti daripada Geng 360
PASIR PUTEH, 9 Feb (Bernama) -- Program Fiesta Sehati@RTM (Radio Televisyen Malaysia) akan menjelajah ke seluruh negara untuk mendengar, merasa dan memahami denyut nadi rakyat.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata menerusi Town Hall yang merupakan antara aktiviti program tersebut, pelbagai isu khususnya mengenai pembangunan serta masa depan negeri serta rakyat dibicara dan dikupas dalam suasana santai, ceria dan interaktif.

"Fiesta Sehati@RTM merupakan platform yang memberi ruang kepada kerajaan dan rakyat untuk berhubung secara interaktif," katanya ketika mengulas penganjuran Program Fiesta Sehati@RTM dengan tagline 'Apa Khabar Orang Kampung' (AKOK25) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulai Lima di sini.

Lebih 3,000 peserta terutama golongan muda, pendidik dan penduduk Pasir Puteh menghadiri sesi Town Hall hari ini untuk berdialog bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir pada sesi Town Hall itu ialah Sharifah Zarah, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman dan Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan Noriani Mohd Idris.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata Town Hall merupakan satu platform yang sangat berkesan untuk kerajaan bukan sahaja dapat mendengar tetapi menjawab pertanyaan rakyat.

"Kadangkala kita buat program besar yang melibatkan ceramah sehala sahaja sebenarnya kita tidak mendengar apakah aspirasi dan kebimbangan mereka dan harapan mereka untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang," katanya yang mahukan program tersebut diperbanyakkan lagi.

Dalam pada itu, Noriani berkata fiesta tersebut merupakan usaha Jabatan Penyiaran Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dan ADUN Semerak.

"Kami menterjemahkan harapan dan aspirasi rakyat setempat yang mahu program seumpama ini diadakan, selain itu fiesta ini sebagai merakamkan ucapan terima kasih kepada pendengar di luar bandar yang memang menjadi peminat tegar program AKOK selama ini," katanya.

Beliau berkata berikutan sambutan yang hangat itu, fiesta berkenaan akan terus menjelajah ke seluruh negeri ini.

-- BERNAMA