AM › BERITA





Tambahan RM100 Juta Untuk Projek Lampu Jalan Kampung - Najib


Tarikh kemaskini: 09/02/2018


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan gimik penyerahan lampu jalan pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Lampu Jalan di Padang Awam Bukit Mor. Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Anggota Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (kiri), Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kiri) dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan).
MUAR, 9 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membina lampu jalan kampung (LJK) yang bakal memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata daripada jumlah itu, kerajaan meluluskan peruntukkan RM50 juta, manakala baki RM50 juta akan disumbangkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), melibatkan pembinaan 50,000 unit lampu jalan kampung.

"Kerja-kerja pembinaan serta pemasangan lampu ini dijangka mengambil masa antara 10 minggu hingga 14 minggu dan TNB telah beritahu akan segerakan pemasangan ini.

"Apabila kampung itu diterangi cahaya lampu saya percaya penduduk akan nikmati pelbagai faedah, kampung jadi lebih ceria selain keselamatan ditingkatkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung Negeri Johor di Bukit Mor, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Ismail Sabri, ketika berucap pada majlis itu, berkata kerajaan menerusi kementeriannya telah membelanjakan anggaran RM247 juta untuk pembiayaan lebih 317,000 unit lampu jalan kampung di seluruh negara bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) sehingga RMK11 tahun 2016.

Katanya, daripada jumlah itu, sejumlah 258,000 unit lampu jalan kampung telah dipasang di Semenanjung Malaysia, 31,811 unit di Sabah dan 27,259 unit di Sarawak.

"Menerusi RMK11, perdana menteri dalam ucapan Bajet 2017 telah mengumumkan peruntukan RM100 juta di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung seluruh negara bagi pemasangan kira-kira 110,000 unit lampu jalan kampung, daripada jumlah ini 6,333 unit lampu jalan kampung adalah jenis LED dan selebihnya dari jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV)," katanya.

Beliau berkata tahun lepas, kementeriannya telah melaksanakan program lampu jalan kampung Fasa 8 untuk negeri Johor dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM8.33 juta bagi pemasangan 13,582 unit lampu jalan kampung di 1,555 buah kampung di seluruh Johor.

-- BERNAMA