AM › BERITA





STA, MTCC Anjur Bersama Bengkel Persijilan Pengurusan Hutan


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) dan Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) menganjurkan bersama bengkel untuk mengenal pasti jurang dan peluang dalam melaksanakan persijilan pengurusan hutan (FMC) di Sarawak, pada 5-6 Feb lepas.

Agensi-agensi itu dalam satu kenyataan bersama berkata bengkel dua hari itu tepat pada masanya kerana ia bertujuan untuk mengenal pasti jurang yang dihadapi oleh pemegang lesen kayu hutan jangka panjang di Sarawak dalam mendapatkan FMC di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia, dan peluang serta sumber yang perlu bagi merapatkan jurang itu.

"Jurang utama yang dikenal pasti diringkaskan sebagai kurang pengalaman dan kapasiti bagi memenuhi keperluan standard FMC, interpretasi berbeza hak adat asli berkaitan dengan tanah dan penggunaan sumber dalam unit pengurusan hutan oleh pemegang kepentingan berlainan, serta keperluan berbeza merangkumi aspek yang sama dalam garis panduan yang dirangka oleh agensi berbeza," katanya.

Bengkel itu disertai 110 peserta terdiri daripada ahli-ahli STA dan para pegawai daripada Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Jabatan Perhutanan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak. Harwood Timber Sdn Bhd, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar Sarawak.

-- BERNAMA.....