AM › BERITA





Algeria Pelawa Syarikat Malaysia Bangunkan Perumahan Mampu Milik Di Sana


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Algeria berminat melaksanakan program perumahan mampu milik yang dilaksanakan kerajaan Malaysia bagi membantu rakyat berpendapatan rendah terutama di bandar untuk memiliki rumah, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Justeru, beliau berkata kerajaan negara itu mempelawa syarikat-syarikat di Malaysia untuk membuat pelaburan dalam melaksanakan pembangunan rumah mampu milik di negara itu.

Noh berkata perkara itu dinyatakan ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Perumahan, Perancangan Bandar dan Bandar Algeria, Abdelwahid Temmara sempena Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) di sini, hari ini.

"Mereka masih mempunyai banyak lagi tanah-tanah untuk dilaksanakan pembangunan perumahan...mereka berminat dengan skim perumahan mampu milik kita seperti skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Transit dan bagaimana kita membantu masyarakat di bandar dan luar bandar," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Noh yang turut menerima kunjungan hormat Penolong Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar Amerika Syarikat, Neal Rackleff berkata pihaknya juga berbincang mengenai kaedah pembangunan semula rumah-rumah lama bagi keselesaan penduduk.....