AM › BERITA





Lexis Hotel Group Rai 18 Warga Emas Sempena Tahun Baru Cina


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

PORT DICKSON, 9 Feb (Bernama) -- Lapan belas orang warga emas dari Rumah Sejahtera Jimah, Lukut, di sini, diraikan Lexis Hotel Group, sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Presiden Lexis Hotel Group Mandy Chew Siok Cheng berkata program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan.

"Program itu bertujuan untuk menggembirakan mereka sempena Tahun Baru Cina, yang akan diraikan Jumaat depan. Program CSR ini merupakan antara usaha hotel untuk bersama warga emas dan berkongsi dengan mereka semangat dan kegembiraan perayaan.

"Menjadi tanggungjawab kami untuk memberi kembali kepada masyarakat. Apabila kehidupan memberikan kita kejayaan dan keuntungan, kita tidak sepatutnya melupakan golongan orang yang kurang bernasib baik yang tanpa bantuan kita, bergelut dalam kehidupan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengurus hotel Lexis Hibiscus Port Dickson, Simon Tan Chu Kian dan Pengerusi Rumah Sejahtera Jimah, Lukut, M. Perumal.

Chiew juga memberikan 'ang pow' kepada penghuni rumah tersebut bagi pihak Lexis Hotel Group serta sumbangan peribadinya ke rumah berkenaan.

Rumah Sejahtera Jimah, Lukut, ditubuhkan pada 1968 dan pada masa ini menyediakan perlindungan kepada 18 warga emas.

-- BERNAMA