AM › BERITA





Kadar Levi, Tol Di Linkedua Dikurangkan


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Levi kenderaan komersial di Linkedua dikurangkan kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia mulai 13 Feb, berbanding kadar antara RM100 hingga RM200 ketika ini.

Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan, " demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa pengurangan levi dan tol di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) adalah bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor yang berhadapan dengan isu kesesakan.

Keputusan kerajaan itu membabitkan levi kepada kenderaan komersial yang keluar dan masuk ke Malaysia dan kadar tol di luar waktu puncak bagi semua jenis kenderaan kecuali motosikal.

Menurut kenyataan itu, kadar baharu selepas pengurangan berkenaan adalah RM4 daripada RM7.50 bagi kenderaan persendirian, teksi (RM3 daripada RM5.70) dan bas (RM4.50 daripada RM9.10) manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.....