AM › BERITA





Empiang Ingatkan Wanita PBB Saling Membantu


Tarikh kemaskini: 09/02/2018


KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Tan Sri Empaing Jabu mengingatkan anggota pergerakan itu agar saling membantu tanpa mengira sayap Pesaka atau Bumiputera bagi memastikan PBB kekal kukuh.

Empiang berkata hanya dengan cara itu Wanita PBB mampu memainkan peranan sebagai pemimpin masyarakat dengan lebih berkesan.

Pada masa sama, beliau yang melepaskan jawatannya yakin penggantinya Datuk Seri Fatimah Abdullah mampu meningkatkan perpaduan anggota dan mempererat kerjasama dengan kaum bapa dan pemuda PBB.

"Dalam sejarah perjuangan sebagai timbalan ketua wanita selama 23 tahun dan ketua wanita selama 10 tahun, saya amat bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota dan pemimpin parti," katanya berucap pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita dan Pemuda PBB ke-14, di sini hari ini.

Perhimpunan tersebut dirasmikan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Empiang, 74 , memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya dan memberi laluan kepada Fatimah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan pergerakan berkenaan.

Dalam ucapannya, Empiang turut berharap Wanita PBB akan memberi sokongan padu terhadap usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan ekonomi digital serta mempertahankan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sementara itu, Ketua Pemuda Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut melepaskan jawatannya untuk bertanding jawatan naib presiden, menyeru anggota pergerakan itu meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu.

Berilah sokongan padu kepada kepimpinan Abang Johari selaku Ketua Menteri kerana beliau sedang berusaha membawa Sarawak lebih jauh ke depan, katanya.

-- BERNAMA