AM › BERITA





Think City Peruntuk RM30 Juta Jadikan Bandar Raya Lebih Lestari


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Organisasi memulihkan semula bandar berasaskan komuniti, Think City Sdn Bhd memperuntukkan RM30 juta dalam bentuk geran bagi 640 projek sejak 2010 untuk melindungi dan membangunkan warisan, budaya dan seni bina bandar raya.

Pengarah Program Think City KL Dr Neil Khor berkata geran ditawarkan menerusi Program Geran Think City (TCGP) bagi menggalakkan persekitaran kehidupan yang lestari serta membantu pemilik membaik pulih bangunan mereka selain membina momentum inisiatif masyarakat umum dan sektor swasta.

"Tugas pertama Think City ialah memberi nafas baharu kepada bandar bersejarah George Town di Pulau Pinang dan geran berjumlah RM16.5 juta telah diagihkan, menghasilkan RM74 juta (perbelanjaan untuk projek berkaitan) dengan 600 pekerjaan langsung dan tidak langsung diwujudkan," katanya kepada Bernama di luar Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9, di sini hari ini.

Katanya TCGP ditawarkan sekurang-kurangnya dua kali setahun dan terbuka kepada individu, syarikat dan badan bukan kerajaan di George Town, Kuala Lumpur serta Johor Bahru dengan geran minimum RM5,000.

Think City yang diwujudkan pada 2009 merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan dibiayai oleh Yayasan Hasanah dengan tujuan mewujudkan bandar raya bertumpukan kepada manusia dengan persekitaran hidup yang sesuai dan berdaya tahan.....