AM › BERITA





Penganggur Curi Baju Dipenjara Tujuh Hari, Denda RM2,000


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Seorang pengganggur dipenjara tujuh hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tujuh helai baju di sebuah pasar raya.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Japfri Dullah, 47, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 4 Feb lepas dan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh mencuri tujuh helai baju bernilai RM142 milik kedai Yubiso Berjaya Times Square di kedai Yubiso Berjaya Times Square, Dang Wangi di sini, pada 3.18 petang, 4 Feb lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dipenjara dan boleh juga dikenakan denda serta sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf

"Saya sudah serik...demi Allah saya tidak akan ulangi kesalahan saya. Saya berkerusi roda dan patah kaki disebabkan kejadian ini...berilah peluang kepada saya untuk berubah," katanya.....