AM › BERITA





Perubahan Kaedah Undi Pos Luar Negara Tidak Jejas Ketelusan - SPR


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Perubahan kaedah pengundian pos luar negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak akan menjejaskan ketelusan proses pengundian, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata proses undi pos luar negara adalah berdasarkan permohonan yang dibuat sendiri oleh pemilih yang layak dengan menyertakan nombor kad pengenalan dan nombor pasport sebagai bukti pengenalan diri.

Katanya maklumat itu akan disahkan kelayakannya dengan Jabatan Imigresen sebelum SPR memaklumkan kepada pemohon sama ada permohonan mereka diluluskan atau ditolak.

"Seterusnya urusan pengeluaran kertas undi pos akan dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya bagi bahagian yang berkenaan dengan disaksikan wakil-wakil calon yang bertanding semasa pengeluaran sampul kertas undi pos untuk penghantaran kepada pemohon yang berjaya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi proses pengundian pos yang lain, pengundi akan menerima sampul kertas undi pos secara terus dan mereka perlu menanda pilihan mereka serta mengisi Borang 2 (pengisytiharan identiti) dengan lengkap di hadapan seorang saksi bagi membuktikan penerima sampul kertas undi itu adalah pengundi pos berkenaan.....