AM › BERITA





Operasi 24 Jam Bukit Kayu Hitam Permudah Pelancong Thailand


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

Oleh Mohd Haikal Mohd Isa

BANGKOK, 9 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap pusat pemeriksaan Imigresen Bukit Kayu Hitam yang akan beroperasi 24 jam dalam memudahkan ketibaan lebih ramai pelancong dari Thailand melalui jalan darat.

Timbalan Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Omar berkata kerajaan sedang berusaha ke arah melanjutkan waktu operasi di pusat pemeriksaan itu dan menyasarkan 1 Jan 2019 bermulanya operasi 24 jam.

"Kami berharap perkembangan ini merupakan satu lagi langkah positif ke arah mengalu-alukan ketibaan lebih ramai pelancong Thai melalui jalan darat," katanya semasa menghadiri "Malam Penghargaan Malaysia" di sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Duta Malaysia di Thailand Datuk Jojie Samuel.

Sebagai negara berjiran yang berkongsi lapan pusat pemeriksaan sempadan, beliau berharap operasi 24 jam di Bukit Kayu Hitam itu akan menjadi permulaan baik bagi mempermudah dan menyelaraskan pergerakan merentasi sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Keputusan melanjutkan waktu operasi Pusat Pemeriksaan Imigresen Bukit Kayu Hitam kepada 24 jam mulai tahun depan, diumumkan sebelum ini oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.....