AM › BERITA





Najib Temui PM Baharu New Zealand


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

Oleh Noor Soraya Mohd Jamal

DA NANG (VIETNAM), 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baharu New Zealand, Jacinda Ardern di luar majlis Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-25, di sini.

Najib dan Ardern, yang baru dipilih sebagai Perdana Menteri New Zealand ke-40, membincangkan pelbagai perkara berkaitan ekonomi digital dan keselamatan serantau hampir 30 minit dalam perjumpaan dua hala pertama mereka itu.

Tahun ini, Malaysia dan New Zealand akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik mereka.

Dari segi perdagangan, eksport utama Malaysia ke New Zealand tahun lepas terdiri daripada petroleum mentah serta produk elektrik dan elektronik.

Walaupun perdagangan antara kedua-dua negara merosot pada 2016, ia telah bertambah baik tahun ini.

Pada 2016, jumlah perdagangan dengan New Zealand menyusut sebanyak 16.1 peratus kepada RM5.90 bilion (US$1.42 billion) berbanding RM7.03 bilion (US$1.8 bilion) pada 2015.

Bagaimanapun, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 49.3 peratus kepada RM 5.25 bilion (US$1.204 bilion) daripada RM3.518 bilion (US$860.6 juta) dalam tempoh yang sama tahun lalu.

-- BERNAMA