AM › BERITA





Warga Emas Ditahan Cuba Seludup Dadah Ke Lokap


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga emas ketika cuba menyeludup dadah ke dalam lokap Balai Polis Kluang, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata lelaki berumur 60 tahun itu datang ke balai polis berkenaan kira-kira 11 pagi dengan alasan mahu menyerahkan beg kepada anak perempuannya yang ditahan di dalam lokap atas kesalahan dadah.

"Hasil pemeriksaan beg itu, anggota Pejabat Pertanyaan Balai Polis Kluang menemui seunit power bank di dalamnya mengandungi sepaket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 13.98 gram dan sepaket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu seberat 0.98 gram dianggar bernilai hampir RM1,500," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata ujian saringan air kencing mendapati warga emas tersebut positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Lelaki itu ditahan reman sehingga 15 Nov ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.....