AM › BERITA





Dua Pegawai SPRM Disyaki Positif Dadah Ditahan


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


Datuk Seri Azam Baki
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan kerana disyaki positif dadah di sebuah pusat hiburan di Brickfields tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata kedua-dua pegawai berusia 33 dan 35 tahun itu ditahan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dalam satu pemeriksaan ujian saringan air kencing.

"Saya mengesahkan bahawa dua pegawai SPRM ditahan dan mereka telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Azam berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan mahu tindakan undang-undang diambil segera kepada mana-mana pegawai SPRM yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata SPRM sebagai sebuah badan yang berintegriti tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang melakukan kesalahan jenayah.

-- BERNAMA