AM › BERITA





Tubuh Pusat Penyelidikan MRI Antara Inisiatif UM Jadi 100 Terbaik


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Penubuhan Pusat Penyelidikan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) Universiti Malaya (UM) merupakan antara inisiatif untuk mengangkat universiti itu sebagai antara 100 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings dalam tempoh dua tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata penubuhan pusat itu yang pertama seumpamanya di negara ini membolehkan penyelidik melakukan kajian secara maksimum dan komprehensif.

"Ini selaras dengan rangka tindak (pendidikan tinggi) untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti dan seimbang secara holistik dengan ciri-ciri keusahawanan. UM sekarang di tangga ke-114 dan ia mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun," katanya selepas merasmikan pusat penyelidikan di Fakulti Perubatan UM, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan Dekan Fakulti Perubatan UM Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Sementara itu, Dr Adeeba berkata pusat tersebut dilengkapi sistem MRI terkini, sekali gus membantu penyelidik melakukan kajian peringkat tinggi dalam bidang radiologi.

"Sebagai hospital pengajaran, kemudahan ini amat penting untuk membolehkan kita setanding dengan negara luar dan UM bukan sahaja mengajar mahasiswa perubatan dan jururadiografi tetapi juga pakar-pakar dalam bidang radiologi yang akan datang termasuk pakar daripada Kementerian Kesihatan yang turut mendapat latihan di sini," katanya.

Menurutnya pusat penyelidikan MRI UM itu ditubuhkan menerusi geran Penyelidikan Berimpak Tinggi bernilai RM12.2 juta yang disalurkan kepada UM oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain penyelidikan, kemudahan pusat itu juga digunakan bagi tujuan pemeriksaan rutin pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya serta aktiviti pengajaran dan latihan untuk penuntut dan kakitangan UM.

Pusat penyelidikan itu menggunakan mesin MRI Magnetom Prisma yang dibekalkan oleh syarikat Siemens Healthcare Malaysia dan merupakan sistem MRI terkini yang membolehkan penyelidik menggunakan teknik-teknik terkini seperti 'susceptibility weighted imaging' (SWI), 'dynamic angiography' dan 'diffusion spectrum imaging' (DSI).

Ia turut direka bentuk dan dibina untuk menjalankan MRI ke atas manusia dan haiwan.

-- BERNAMA