AM › BERITA





Bunuh Dan Bersubahat: Enam Penuntut UPNM Mengaku Tidak Bersalah


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lepas.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakim Mohd Ali, yang kesemuanya berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.

Lima daripada mereka iaitu, Muhammad Akmal, Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobirin didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan Osman, 21, di Bilik 04-10, Blok penginapan asrama Jebat UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, di sini antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakim pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.....