AM › BERITA





Ahmad Zahid Tinjau Sekolah Di Sibu


Tarikh kemaskini: 14/09/2017

SIBU, 14 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulakan hari kedua lawatan kerjanya di Sarawak dengan melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby di sini pagi ini.

Beliau tiba di perkarangan sekolah itu pada kira-kira pukul 9.45 pagi dengan diiringi Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Timbalan Perdana Menteri yang tiba di Sibu petang semalam telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembinaan Sekolah-sekolah daif di Sarawak di sebuah hotel malam tadi.

Mesyuarat malam tadi turut disertai Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, timbalannya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-dagang Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan menteri kabinet Sarawak yang lain.

Ahmad Zahid dijangka menamatkan lawatannya dengan mengadakan persidangan media di lapangan terbang Antarabangsa Sibu sejurus sebelum berlepas pulang.

-- BERNAMA