AM › BERITA





Agong Berangkat Ke Majlis Bacaan Yasin Sempena Pertabalan


PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat sempena Hari Pertabalan baginda di Masjid Putra di sini malam ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 7.30 malam itu disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut berangkat Pemangku Sultan Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Majlis sejurus solat Maghrib itu dimulai dengan solat hajat, diikuti bacaan Yasin dan doa selamat dengan dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Kira-kira 2,000 umat Islam turut serta menghadiri majlis tersebut.

Antara kenamaan lain yang turut menyertai majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Imam Besar Masjid Putra Datuk Abd Manaf Mat.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agomg ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis tahun lepas.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara, 24 April ini.

-- BERNAMA