AM › BERITA





100 Kes Pemerdagangan Orang Berjaya Disabitkan Tahun Lepas - Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Sebanyak 100 kes pemerdagangan orang dan kes yang mempunyai unsur pemerdagangan orang telah disabitkan di mahkamah sepanjang tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata jumlah itu merupakan peningkatan yang memberangsangkan berbanding hanya tujuh sabitan direkodkan pada tahun 2015.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2017, sebanyak 13 sabitan kes pemerdagangan orang telah dicapai," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mesyuarat kali ini telah menumpukan kepada pencapaian negara berkaitan aspek-aspek kritikal yang disarankan oleh pihak Amerika Syarikat sebelum ini menjelang penilaian Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2017 yang dijangka diumumkan pertengahan tahun ini.

"Aspek-aspek kritikal ini merangkumi komponen-komponen penting dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang merangkumi aspek polisi, pencegahan, penguatkuasaan, pendakwaan dan perlindungan mangsa," katanya.

Ahmad Zahid berkata pada mesyuarat tersebut, kerajaan juga bersetuju untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkelayakan untuk mengendalikan rumah perlindungan bagi mangsa pemerdagangan orang bermula bulan ini.

Sebelum ini, mangsa hanya ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Keputusan ini adalah selaras dengan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang telah diluluskan di Parlimen pada Julai 2015 dan dikuatkuasakan sepenuhnya pada November 2015," katanya

Katanya, kerajaan juga bersetuju melantik 12 individu daripada kalangan NGO untuk menjadi pegawai pelindung kepada mangsa yang diperdagang berbanding sebelum ini ia dijalankan oleh pegawai pelindung daripada Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melanjutkan tempoh pengoperasian Pasukan Petugas Khas ATIPSOM sehingga Disember 2018.

"Malaysia menyambut baik sokongan dan kerjasama berterusan yang diberikan oleh Kedutaan Besar Amerika Syarikat dalam usaha negara untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang.

"Sehubungan itu, Malaysia berharap supaya kerjasama erat sebegini akan dapat menambah baik inisiatif negara bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang, sekaligus membantu Malaysia memperbaiki kedudukan dalam JNAS mengenai pemerdagangan orang bagi tahun 2017," katanya.

-- BERNAMA