AM › BERITA





Raja Salman Sifatkan Hubungan Malaysia-Arab Saudi Senantiasa Akrab - Najib


PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menyifatkan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi "senantiasa akrab", kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib berkata mesej itu disampaikan Raja Arab Saudi itu semasa pertemuan empat mata di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di sini, sempena lawatan negara empat hari baginda ke Malaysia, bermula semalam.

Beliau berkata Raja Salman selaku "Penjaga Dua Kota Suci" 'telah menggunakan istilah "hubungan di tahap tertinggi atau hubungan paling akrab" untuk menggambarkan hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Saya yakin bahawa lawatan Raja Salman yang bersejarah ini akan mengeratkan dan meletakkan hubungan kita pada landasan yang kukuh untuk sekarang dan masa depan" kata beliau pada sidang media di Seri Perdana, hari ini.

Raja Salman kini dalam lawatan sulung ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pada sidang media itu, Najib berkata Malaysia berasa begitu bangga dan berbesar hati untuk menerima kedatangan Raja Salman dalam lawatan sulung ke Malaysia di rantau ini selepas menaiki takhta pada 2015.

"Saya telah mengakhiri perbincangan dua hala bersama Raja Salman, dan perbincangan itu sangat produktif dan mesra meliputi pelbagai perkara sama ada berkaitan hubungan dua hala dan isu-isu antarabangsa.

"Raja Salman berasa begitu senang hati dengan pendirian Malaysia atas isu-isu antarabangsa khususnya melibatkan tindakan untuk menjelaskan Islam yang sebenar dan memerangi sebarang bentuk keganasan seperti (kumpulan militan) Daesh dan IS," katanya.

Menurut perdana menteri, kedua-dua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam aspek ketenteraan dan keselamatan dalam usaha memerangi keganasan.

Secara prinsipnya, Najib berkata kedua-dua negara telah membuat keputusan dalam beberapa perkara termasuk berkaitan pertukaran aset yang perincian mengenainya akan diumumkan nanti.

Najib berkata Raja Salman memaklumkan bahawa Arab Saudi akan menubuhkan King Salman Centre for Global Peace di Malaysia yang akan menjadi pusat bagi membanteras naratif yang dikeluarkan oleh pihak-pihak radikal dan ektremis.

Katanya pusat itu berperanan untuk menyemarakkan lagi konsep wasatiyyah bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara-negara Barat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau dan Raja Salman turut berbincang mengenai perkembangan isu semasa di Timur Tengah serta hubungan negara-negara Islam dan kuasa-kuasa besar.

-- BERNAMA