RENCANA › BERITA





KPS Santuni Penghuni Rumah Jagaan Nur Hasanah


Tarikh kemaskini: 13/10/2017


Oleh Wan Asmanizan Wan Ahmad Najib

SEMENYIH (Bernama) -- Sebagai syarikat yang sentiasa mengambil berat kebajikan golongan yang kurang bernasib baik, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) mempunyai pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Satu daripada program itu ialah Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS) yang dilaksanakan sejak 2011, bertujuan melibatkan diri dengan aktiviti kebajikan di samping mendekati serta berbakti kepada asnaf.



Perangsang Selangor baru-baru ini dengan kerjasama wakil Pusat Belia Masjid Selangor (PBMS) turun padang menziarah sambil beriadah dengan penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, yang terletak di Kg Sesapan Kelubi, Beranang, di sini.

Seramai 23 orang termasuk ketua jabatan serta kakitangan Perangsang Selangor menyertai program 'Santuni Pusat Jagaan Nur Hasanah' yang berlangsung sepanjang hari baru-baru ini bermula dengan kerja-kerja gotong-royong membersihkan pusat jagaan itu.

Turut serta dalam program berkenaan ialah 10 urusetia serta sukarelawan PBMS, lapan petugas Pusat Jagaan Nur Hasanah serta masyarakat setempat.

PENGHUNI NUR HASANAH

Pada masa ini, Pusat Jagaan Nur Hasanah menempatkan seramai 20 penghuni iaitu penghuni lelaki yang berumur antara 40 sehingga 70 tahun.



Sejak penubuhannya seawal 2006, lebih 220 penghuni pernah berteduh di pusat ini.

Menurut Puan Aidah Jamaat , setiausaha Pusat Jagaan Nur Hasanah, kebanyakan penghuni rumah Nur Hasanah adalah pesakit dari Hospital Kajang yang tidak mempunyai tempat tinggal atau keluarga untuk menerima mereka kembali setelah tamat rawatan di hospital.

Beliau, yang juga Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Kajang menambah, ?Pusat Jagaan Nur Hasanah akan terlebih dahulu membuat kaji selidik rekod perubatan pesakit sebelum membawa mereka pulang untuk tinggal bersama-sama penghuni lain.

"Pihak kami bagaimanapun tidak menerima pesakit yang mempunyai AIDS atau HIV positif, disahkan mempunyai penyakit berjangkit, pesakit mental, serta pesakit yang tidak boleh menguruskan diri sendiri kerana dikhuatiri membawa mudarat kepada penghuni yang sedia ada," jelasnya.

SUMBANGAN

Di samping membersihkan kawasan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Perangsang Selangor menghulurkan sumbangan berbentuk barangan.

Sumbangan berkenaan bernilai RM7,300 berbentuk sebuah projektor, sebuah ?chiller' untuk kegunaan penghuni di pusat jagaan itu di samping sejumlah wang tunai kepada setiap penghuni.

Pada m ajlis penutup program ziarah itu, Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Media dan tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata "Tujuan aktiviti riadah ini adalah untuk berkongsi keuntungan melalui program tanggungjawab sosial korporat Perangsang Selangor."

Perangsang Selangor juga berharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan dalam masa yang sama memakmurkan masyarakat sekitar melalui program mendekati masyarakat seperti program di Pusat Jagaan Nur Hasanah.

Mohd Fauzi dalam ucapan penutupnya turut berterima kasih kepada semua penghuni dan penjaga Pusat Jagaan Nur Hasanah kerana menerima kedatangan Perangsang Selangor dan kepada semua sukarelawan yang turut menjayakan aktiviti Santuni Pusat Jagaan Nur Hasanah.

Tergambar kegembiraan di wajah setiap penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah apabila mereka dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu nasihat dari kakitangan PKS pada akhir program.



GEMBIRA HATI PENGHUNI

Ahamed Awang, 73, dan Hashim Yacob, 72, adalah antara penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah dan kedua-duanya telah tinggal di pusat jagaan itu kira-kira lima tahun.

Berasal dari Kelantan, Ahamed dirujuk ke pusat penjagaan itu setelah selesai rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan jalan raya pada 2010.

Beliau dihantar ke pusat berkenaan kerana tidak ada waris atau ahli keluarganya yang dapat dihubungi untuk mengambilnya pulang.

"Pakcik gembira berada di sini kerana ada ramai kawan. Kami juga sering menerima kunjungan orang ramai," kata Pakcik Ahamed sambil menunjukkan beberapa gambar yang disimpan dalam telefon bimbitnya, termasuk dengan artis.

Sementara itu, Hashim, duda anak satu, dirujuk ke pusat jagaan itu oleh Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

"Pakcik dengan rela hati memilih untuk tinggal di Pusat Jagaan Nur Hasanah ini kerana tidak mahu menyusahkan keluarga," kata Pakcik Hashim yang berasal dari Seremban.

Beliau menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung telah dipotong kakinya akibat penyakit itu tetapi masih mampu menguruskan dirinya dengan menggunakan kerusi roda.

-------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG PUSAT JAGAAN NUR HASANAH

Pusat Jagaan Nur Hasanah ditubuhkan pada Ogos 2006 oleh Persatuan Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia (PPPM). Ia dibina di atas sekeping tanah yang diwakafkan oleh Haji Mohaidin Bahador yang juga pengerusi rumah Nur Hasanah.

Secara umumnya, ia adalah antara rumah transit untuk pesakit yang dirujuk oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) dari pelbagai hospital kerajaan di seluruh negara sebelum mereka ditempatkan di rumah-rumah jagaan seperti Rumah Seri Kenangan atau Rumah Ehsan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdapat beberapa kes pesakit yang telah tamat rawatan hospital terutamanya Hospital Kajang tetapi tidak mempunyai tempat tinggal atau waris yang dapat menjaga mereka.



Bagi pesakit yang tiada tempat untuk dituju, Pusat Jagaan Nur Hasanah akan menerima dan menempatkan mereka di rumah jagaan sementara ini dalam usaha untuk mengurangkan kes tiada waris atau tempat tinggal.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Aidah Jamaat, setiausaha Pusat Jagaan Nur Hasanah.di alamat Lot 842, Lorong Dato'Dagang Haji Tahir, Kampung Sesapan Kelubi, 43700 Beranang, Selangor atau no telefon 03-87668100.

BERNAMA