RENCANA › BERITA





Pendakian Gunung Kinabalu Cantik Lagi Mencabar


Tarikh kemaskini: 12/10/2017

Oleh Emin Madi

RANAU (Bernama) -- Pada Oktober 2015, ketika pembinaan dua laluan baharu menuju ke puncak Gunung Kinabalu sedang dijalankan, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun memberi jaminan bahawa laluan itu pasti 'cantik dan mencabar'.

Nyata, pada awal tahun ini ketika dijemput oleh pihak Taman-taman Sabah untuk mendaki kedua-dua laluan baharu itu, penulis mendapati bahawa pendakian di situ sememangnya cantik dan amat mencabar. Malah, ia terlalu mencabar sehinggakan beliau terpaksa berhenti di separuh pendakian kerana, pada usia 67 tahun, beliau tidak mampu untuk mendaki cerun yang curam. Dalam keadaan hujan dan berangin pada hari itu, penulis terpaksa bertungkus-lumus memanjat sambil berpaut erat pada tali untuk sokongan.

Namun, seperti yang dijanjikan, pemandangan dari situ memang amat menakjubkan memandangkan satu daripada laluan baharu itu terletak lebih tinggi daripada laluan lama di mana para pendaki hanya dapat melihat hutan yang menghijau serta batu-batuan.



Kedua-dua laluan baharu itu - Laluan Ranau yang sepanjang 2.97 kilometer dan Laluan Kota Belud sejauh 2.8 kilometer dibina bagi menggantikan satu-satunya laluan lama ke puncak Gunung Kinabalu yang rosak teruk akibat gempa bumi berukuran 6.0 magnitud yang melanda Ranau dan bahagian barat gunung itu pada 5 Jun, 2015, mengakibatkan kematian 18 pendaki termasuk malim gunung dan kanak-kanak.



Laluan Ranau dibuka kepada orang ramai pada Disember 2015 manakala Laluan Kota Belud pula mula digunakan sejak Februari tahun ini.....