RENCANA › BERITA





Dapatkan Pengesahan Khabar Angin Di "sebenarnya.my"


Tarikh kemaskini: 17/07/2017

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Beberapa minggu lepas, seluruh negara gempar dengan video amatur menunjukkan nasi yang ditanak boleh membentuk 'bola getah' yang melantun bila dibaling ke lantai. Hal ini dijadikan 'bukti' kononnya beras yang dibeli telah dicampur dengan beras plastik.

Video ini tular dengan pantas. Komentar dan tuduhan orang ramai dilemparkan kepada syarikat pengeluar beras bukannya sedikit. Jari dituding kepada pelbagai pihak. Semuanya dipersalahkan hanya bersandarkan andaian yang pastinya datang tanpa sebarang bukti kukuh.

Secara umum, lebih ramai yang percaya beras yang dijual 'sah' dicampur plastik berbanding yang sanggup menunggu penjelasan pihak berkuasa atau syarikat pengeluar.

Isu beras dicampur plastik bukanlah perkara baharu di rantau Asean. Pada 2015 isu sama pernah menggemparkan negara jiran, Indonesia. Ia juga timbul di Filipina tidak lama dahulu.

Di Thailand isu ini timbul pada Januari tahun ini sehingga Menteri Perdaganggannya, Apiradi Tantraporn terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan negara itu mengeksport beras plastik.

Sambil anda membaca artikel ini, BBC melaporkan dakwaan kewujudan beras plastik sedang hangat di benua Afrika, terutama di negara seperti Senegal, Gambia dan Ghana. Di sebalik dakwaan ini, hasil siasatan Ghana Food and Drugs Authority mengesahkan tiada beras plastik dijual di negara itu.

TERLALU BANYAK MAKLUMAT

Saban hari aplikasi 'Whatsapp' penulis tidak pernah sunyi daripada menerima mesej berantai. Pelbagai topik yang di'forward' oleh rakan dan ahli keluarga daripada pengetahuan agama sampailah kepada khabar angin.

Meskipun ramai yang sedar tidak semua berita yang masuk ke telefon pintar mereka itu benar, tidak ramai yang sanggup melaburkan masa untuk memeriksa kesahihan khabar angin yang diterima.

Berita-berita sensasi sebegini pula sentiasa datang dan pergi. Dijawab hari ini, ia akan hadir lagi pada tahun-tahun akan datang.

Atas sebab itulah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil langkah menyediakan pusat rujukan dalam talian demi membantu orang ramai memeriksa dan mengesahkan kesahihan sesuatu khabar angin.

Portal "sebenarnya.my" kelolaan SKMM dilancarkan 14 Mac, 2017 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak sebagai pusat sehenti bagi orang ramai menyemak dan menyalurkan maklumat yang diterima dalam talian.

Ia adalah satu daripada beberapa usaha SKMM menangani masalah penularan berita palsu di Malaysia.

KESAHIHAN FAKTA

Menurut Pengarah Kanan, Bahagian Advokasi dan Jangkauan SKMM, Eneng Faridah Iskandar peranan "sebenarnya.my" lebih kepada repositori dan arkib bagi berita berunsur palsu melibatkan kepentingan awam dan negara.

"Setiap bahan yang disiar di portal ini memiliki ciri antara telah dinafikan atau diperjelas secara rasmi oleh agensi kerajaan yang berkaitan," jelas beliau.

Penjelasan atau penafian maklumat dibuat dengan terlebih dahulu merujuk kepada sumber-sumber seperti kenyataan media, kenyataan di laman sesawang rasmi kementerian, jabatan atau agensi terlibat mahupun kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Sesuai dengan peranannya, portal ini tidak dibina dengan niat menjadi medium yang mendahului pihak kementerian, jabatan, agensi mahupun media massa.

Nilai tambah yang diberi portal "sebenarnya.my" adalah pemudah cara bagi orang awam yang mahukan pengesahan maklumat di laman sesawang yang boleh dipercayai kredibilitinya.

CIRI MUDAH GUNA

"Dalam kalangan masyarakat kita masih ada yang belum ada kebolehan atau kepakaran untuk mendapatkan sumber rasmi berkenaan sesuatu isu atau maklumat. Bila mereka tiba di satu-satu laman sesawang atau blog, kadang-kadang mereka pun tidak pasti siapa yang mengesahkan sesuatu bahan yang disiarkan. Jadi SKMM bantu mereka dari segi 'fact checking'," tambah Eneng.

Eneng juga berharap dengan adanya kemudahan seperti "sebenarnya.my" akan dapat mendidik masyarakat dan membudayakan amalan memeriksa dahulu maklumat yang diterima sebelum disebarkan kepada orang lain.

Paparan laman "sebenarnya.my" direka khas untuk memudahkan pengguna. Setiap kes yang disiarkan di laman ini disertakan dengan maklumat sumber khabar angin, kemudiannya diberi penjelasan umum tentang kesahihan berita itu.

Bagi orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut, pautan kepada sumber rasmi penjelasan atau penafian ada disediakan pada akhir artikel.

Terdapat juga kotak carian yang membolehkan pengguna membuat carian pantas isu menggunakan kata kunci. Contohnya bila dimasukkan kata kunci 'pesawat', portal ini menyenaraikan khabar-khabar angin terkait pesawat yang pernah tular.

Antaranya seperti khabar angin kononnya bangkai MH370 ditemui di Filipina pada Oktober 2015, cerita palsu yang mengatakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bakal Menyewa Pesawat Tempur Gripen Daripada Sweden dan penafian kononnya ada pesawat TUDM terhempas di Butterworth pada Mac 2017.

BUKAN KEGUNAAN PERIBADI

Eneng menjelaskan, sesuai dengan tujuan asal portal ini untuk memberi maklumat sahih demi kepentingan awam dan negara, portal ini tidak boleh diguna sewenang-wenangnya untuk kepentingan peribadi.

Isu-isu yang tiada dalam skop berita portal ini adalah seperti isu peribadi, agenda oleh orang persendirian, syarikat atau mana-mana parti politik, isu sensitif berkaitan pemimpin masyarakat dan apa juga berita yang tidak memenuhi tujuan asal portal.

Bagaimanapun, orang ramai yang berhajat menyalurkan maklumat untuk perhatian SKMM boleh berbuat demikian melalui saluran-saluran yang disediakan seperti laman "https://aduan.skmm.gov.my", https://aduan.skmm.gov.my atau melalui e-mel "mailto:aduanskmm@cmc.gov.my", aduanskmm@cmc.gov.my atau melalui aplikasi Whatsapp nombor +6016 2206 262.

Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia setakat suku keempat tahun 2016 adalah 77.6 peratus. Sepanjang tahun 2016, SKMM menerima 352 aduan kes penggodaman, penipuan cinta dan 'sextortion' (329), penipuan pembelian barangan dalam talian (287), penipuan (261) dan 'phising' (40).

"Untuk kepentingan masyarakat, SKMM akan terus bekerjasama erat dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi tujuan menyalurkan maklumat yang tepat. Kami akan terus memperbaiki kandungan dan portal ini dari semasa ke semasa," kata Eneng pada akhir temubual.

BERNAMA