RENCANA › BERITA





KOS SARA HIDUP: PERTEMBUNGAN DI ANTARA PERSEPSI, REALITI DAN CPI


Tarikh kemaskini: 19/06/2017

Oleh Prof Datuk Dr Hasan Mad

Prof Dato´ Dr Hasan Mad, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) Berkongsi pandangan beliau akan kos sara hidup dan kesannya kepada rakyat sekarang ini.

KUALA LUMPUR (Bernama)

Saya tertarik dengan satu rencana yang disiarkan di salah sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang menggambarkan sedikit sebanyak kefahaman di kalangan pengguna mengenai pertalian yang kabur di antara kos sarahidup dengan Indeks Harga Pengguna, (CPI)

CPI ataupun Consumer Price Index merupakan petunjuk yang diguna bagi mengukur purata harga barangan dan perkhidmatan yang pengguna belanja berdasarkan harga pasaran semasa, yang dinilai secara pukal. CPI ini diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan setiap bulan dan perangkaan tahunan diguna untuk menentukan kadar inflasi negara.

Rencana itu memetik tiga faktor yang dihuraikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) terjadinya kefahaman yang sedemikian. Pertama, kos sara hidup dan CPI adalah dua petunjuk yang berbeza. Kedua, kos sara hidup tidak semestinya dipengaruhi CPI, kerana ia juga dipengaruhi oleh lain-lain penyebab, terutama punca pendapatan, dan ketiga, turun-naik harga barangan pengguna mencetuskan persepsi berbeza di kalangan pengguna.

Huraian itu memberikan pembaca kesempatan untuk memahami serba sedikit secara amnya mengenai realiti yang pengguna hadapi dalam mengurus kewangan dan kehidupan seharian mereka.

Pun begitu, rencana itu terhenti begitu saja tanpa mengimbangi realiti kehidupan berkaitan kos sarahidup dengan peranan kerajaan dan peranan pengguna iaitu rakyat itu sendiri.

Oleh itu, pertamanya, saya ingin mengajak pembaca sekelian menerima hakikat jika kita inginkan pertumbuhan ekonomi, kita juga wajib menerima hakikat, hadir bersama pertumbuhan ekonomi itu adalah inflasi. Manakan mungkin kita ingin menikmati pertumbuhan ekonomi tetapi pada masa yang sama kita tak mahu adanya inflasi.

Yang wajib kita semua elakkan ialah kadar pertumbuhan mestilah jauh lebih besar berbanding inflasi. Maka kenaikan kos sarahidup adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan. Tanggung-jawab kerajaan adalah mempastikan kadar pertumbuhan jauh lebih tinggi berbanding kadar inflasi.

Hakikat kedua adalah sekalipun ada pertumbuhan ekonomi, tidak bermakna semua bisnes, baik kecil mahupun besar akan turut berkembang dan gaji semua kategori pekerjaan akan meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi itu.

Banyak juga bisnes yang menguncup, malah ada yang tutup kedai. Ada juga mereka yang gajinya menurun malah ramai pula yang hilang pekerjaan. Begitu jugalah dengan CPI yang sekadar memberikan kita petunjuk harga purata bagi semua kategori barangan dan perkhidmatan.

Ada harga barang yang naik tapi ada juga harga barang yang menurun. Kerajaan boleh mengawal harga sesetengah barangan dan perkhidmatan, tetapi tidak semua. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) boleh mengawal sesetengah barangan, tetapi tidak semua.

Banyak lagi barangan dan perkhidmatan yang berada di beberapa kementerian lain. Jika setakat barangan yang dikategorikan sebagai komoditi, seperti minyak masak, bahanapi mudahlah untuk kerajaan mengawalnya, tetapi tidak bagi produk atau barangan yang kuat dipengaruhi faktor permintaan berbanding bekalan, seperti sesetengah jenis ikan, sayur dan buah-buahan.

Tetapi jika kadar inflasi semasa meningkat mendadak, maksudnya peningkatan harga terlalu tinggi untuk sesuatu tempoh masa, sewajarnyalah kerajaan campur tangan. Ini pernah dilakukan oleh KPDNKK beberapa tahun lepas, bagi mengekang kenaikan harga melampau beberapa jenis ikan yang diimpot.

Hakikat ketiga yang kita semua wajar fahami ialah bidangkuasa kementerian. Dalam bab barangan pengguna ini, bukan semua berada di bawah bidang kuasa KPDNKK. Ada yang di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Ada juga yang di bawah bidangkuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, malah Kementerian Pelancongan.

Harga barangan binaan misalnya, sebagai contoh, tempias daripada kenaikan harga simen misalnya akan membina reaksi berantai kepada kenaikan kos lain-lain barangan atau perkhidmatan.

Begitu juga kenaikan harga bahanapi, menyebabkan kos pengangkutan meningkat, membentuk pula kesan berantai kepada kenaikan beberapa kos sara hidup yang lain. Sebagai contoh, CPI bagi bulan Mac 2017 naik ke paras 5.1 peratus berbanding Februari 2017 pada paras 4.5 peratus (kadar inflasi tahunan kekal pada paras 2.5 peratus) ialah kerana peningkatan mendadak kos barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan pengangkutan (23.0 peratus), walhal CPI bagi barangan dalam kumpulan makanan dan minuman hanya meningkat sekitar 4.0 peratus sahaja.

Hakikat keempat dan yang paling penting adalah kemampuan pengguna itu sendiri mengadaptasi gaya hidup mereka dengan perubahan kos sarahidup semasa. Pengamatan saya dan perbualan lisan saya dengan rakan-rakan rata-rata menyatakan bahawa kita belum membina budaya yang mampan dalam mengadaptasi gaya hidup (adaptable lifestyle) bagi diimbangi dengan kos sara hidup semasa.

Masyarakat kita terlalu bergantung kepada peranan kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu semasa sekalipun isu yang sepatutnya masyarakat itu sendiri yang mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani krisis yang dihadapi.

Ia adalah masaalah masyarakat tetapi tiada gerakan bersepadu di pihak masyarakat bagi sama-sama menangani masalah ini. Maka, jika dalam menangani isu kos sara hidup ini rakyat juga tidak tampil mengambil langkah-langkah positif atau proaktif bagi menanganinya, isu kos sarahidup ini akan terus menghantui kerajaan. Salah-salah hemat ia boleh dieksploitasi menjadi isu politik oleh sesetengah pihak yang ghairah menangguk di air keruh.

Bagi Malaysia menjadi negara maju, sekalipun berpendapatan tinggi, rakyatnya wajib dari sekarang membina budaya kepenggunaan (consumerism culture). Rakyat perlu didedah kepada betapa pentingnya mereka: (i) mempertingkatkan pengetahuan mengenai kepenggunaan, (ii) gerakan kepenggunaan (consumerism movement) yang boleh membantu atau bersama kerajaan mengajak rakyat membina budaya berbelanja secara berhemah, atau pun berperanan sebagai watchdog kepada kerajaan dalam memantau kenaikan harga barang. Malah mereka ini juga boleh berperanan sebagai golongan pendesak, bagi kerajaan mengawal harga sesuatu barang atau perkhidmatan yang ada kepentingan rakyat.

Pada hemat saya, telah tiba masanya jika kita hendak menjadikan negara ini makmur seperti New Zealand misalnya, rakyat wajib berganding bahu dengan kerajaan bagi memupuk pembentukan budaya kepenggunaan. Dalam bab ini saya setuju dengan penulis rencana itu untuk inisiatif ini diterajui oleh KPDNKK, kerana nampaknya tiada kementerian atau pihak yang aktif mempromosikan inisiatif ini.

Kita namakan inisiatif ini sebagai Inisiatif Kerjasama Rakyat & Kerajaan, ringkasnya IKRAK. Menerusi Inisiatif IKRAK ini kerajaan dan rakyat wajib bersama dan sepakat membina kekuatan dan kemampuan dalam menggerakkan budaya kepenggunaan ini dalam menangani isu-isu kepentingan rakyat seperti isu kos sara hidup.

(Nukilan ini adalah pandangan peribadi penulis dan dalam apa carapun tidak membayangkan pendirian Bernama dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)

-- BERNAMA