EKONOMI › BERITA






Malaysia Pilihan Terbaik Untuk Bersara Di Asia


Tarikh kemaskini: 14/01/2018


Pesara polis, Salleh Sungam,68, meneliti pokok lada hitam di ladang yang diusahakannya di Sri Aman, Sarawak - gambar fail Bernama sebagai hiasan
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia mendahului carta sebagai pilihan lokasi paling ideal untuk bersara dalam kalangan negara Asia pada 2018, menurut Retirement Index baharu daripada International Living.com.

Berdasarkan indeks terbaharu yang turut mengambil kira beberapa kriteria seperti kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan iklim oleh laman web yang disebutkan, Malaysia menduduki tempat kelima secara global manakala Costa Rica adalah destinasi pilihan utama untuk bersara di dunia.

Laman web itu mendedahkan Malaysia adalah lokasi ideal kerana iklim tropika dan menawarkan pilihan terbaik untuk pesara sama ada di tengah-tengah bandar atau di pekan-pekan kecil, yang kebanyakannya dikelilingi alam semulajadi atau pantai.

Ia juga mengambil kira bahawa pesara mampu tinggal selesa di sini dengan hanya US$2,500 (US$1 = RM3.97) sebulan dan jumlah itu sangat kecil berbanding kos hidup di negara barat.

Selain itu, ia juga menyatakan bahawa pelancongan kesihatan merupakan antara faktor pilihan kerana negara ini menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti pada harga berpatutan sementara pilihan restoran dan barangan runcit antarabangsa boleh dimiliki dengan mudah jika pesara tiba-tiba rasa rindu pada kampung halaman.....