EKONOMI › BERITA






ESSB Kembali Beroperasi Pada Mei Ini


Tarikh kemaskini: 13/01/2018


KEMAMAN, 13 Jan (Bernama) -- Kilang besi keluli terbesar di negeri ini, Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB), akan kembali memulakan operasi pada Mei ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau berkata pengoperasian semula ESSB akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Terengganu yang positif terutamanya di sekitar Pelabuhan Kemaman dan Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini.

"Kilang ini mula beroperasi pada Januari 2015 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion dan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 700,000 tan metrik setahun."

"Namun, seperti mana perniagaan lain, industri besi dan keluli juga tidak terlepas daripada risiko apabila pada 2015, harga pasaran dunia besi dan keluli terus menjunam dan menyebabkan banyak kilang di seluruh dunia mengalami kerugian termasuk ESSB."

"Bagaimanapun, kerajaan negeri gembira dan berterima kasih kepada ESSB kerana tidak memberhentikan 338 pekerja mereka ketika itu, malah bayaran gaji dilunaskan seperti biasa dengan kos hampir RM1.5 juta sebulan atau RM30 juta sepanjang 20 bulan kilang ini tidak beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan latihan industri ke China dan pengoperasian semula ESSB di kawasan perindustrian Teluk Kalong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Rosman Roslan, Ketua Pegawai Operasi ESSB, Tee Choon Hock dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSB, Wang Sheng Hua.....