EKONOMI › BERITA






Alibaba Sasar 2 Bilion Pengguna Global


Tarikh kemaskini: 11/11/2017

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

SHANGHAI, 10 Nov (Bernama) -- Syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba Group (Alibaba), menyasar menyediakan perkhidmatan kepada dua bilion pengguna global dan membuat penghantaran di mana-mana sahaja di seluruh dunia dalam masa 72 jam.

Alibaba berkata, ia juga menyasar menyokong 10 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dunia menerusi inisiatif '11.11 Global Shopping Festival' dalam masa 10 tahun akan datang.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, sasaran itu dirangsang oleh hasratnya untuk mencontohi kejayaan model 'Five Global' initiatives: Global Buy, Global Sell, Global Pay, Global Delivery and Global Travel' yang dilaksanakan di China sejak 2014.

"Menerusi platform e-dagang Tmall Global kumpulan, jenama dan peruncit antarabangsa akan dapat menjual produk mereka secara terus tanpa perlu mempunyai operasi fizikal di China.

"Festival tahun ini akan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan meningkatkan platform realiti bagi memperkasakan peniaga untuk beroperasi dengan lebih cekap dan menyediakan pengalaman membeli belah lebih menyeronokkan kepada pengguna,"kata Alibaba sempena pelancaran festival itu yang juga dikenali sebagai 'Singles Day'.....