EKONOMI › BERITA






Malaysia Kekal Terbuka Untuk Perniagaan, Pelabur Asing - PM Najib


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


DA NANG (Vietnam), 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Malaysia kekal terbuka untuk perniagaan dan destinasi yang tepat untuk pelabur.

Beliau berkata demikian semasa bertemu dengan ahli Pakatan Perniagaan AS-APEC yang terdiri daripada syarikat terkemuka dunia seperti Agoda.com, AirBNB, FedEx, UPS, Johnson & Johnson, J.P. Morgan, Mastercard, Visa, Nike Inc, Walmart, Time Warner dan sebagainya. Agensi penarafan Moody's turut hadir.

"Dalam perbincangan yang berlangsung, saya telah menegaskan bahawa Malaysia kekal terbuka untuk perniagaan dan adalah destinasi tepat untuk para pelabur," kata Najib dalam blog rasminya hari ini.

Perdana Menteri kini berada di Da Nang untuk Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-25

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan Malaysia terus stabil dan positif.

"Defisit berkurangan daripada 6.7 peratus ketika saya mula memegang tampuk pemerintahan kepada tiga peratus, dengan unjuran 2.8 peratus tahun depan.

"Ekonomi kita juga terus berkembang sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini dengan pelaburan langsung asing berjumlah RM25.2 bilion dalam tempoh sama," katanya.

Najib berkata, pelbagai projek infrastruktur dan kesalinghubungan juga sedang diusahakan seperti Transit Aliran Massa, Laluan Keretapi Pantai Timur, Keretapi Laju Malaysia-Singapura, ditambah pula dengan Zon Perdagangan Bebas Digital dan keterbukaan kerajaan terhadap inovasi.

"Laporan Kemudahan Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia juga telah meletakkan kita di tangga ke-24 dunia.

"Semua ini membuktikan Malaysia destinasi pelaburan menarik dan mesra pelabur dan kita akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik lagi dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA