EKONOMI › BERITA






Najib Sertai Perbincangan Utama Menjelang Mesyuarat APEC


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


Oleh Noor Soraya Mohd Jamal

DA NANG (Vietnam), 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyertai perbincangan utama menjelang Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini hari ini, termasuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan tiga mesyuarat dua hala.

Najib, yang tiba pada Khamis, bersama pemimpin negara-negara anggota APEC yang lain, bersidang di bandar peranginan di sini bagi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC selama dua hari, acara utama persidangan APEC mulai Jumaat, untuk membentuk semula dasar perdagangan dan globalisasi .

Jadual ketat menanti Perdana Menteri hari ini dan beliau akan memulakan program dengan menghadiri mesyuarat Gabungan Perniagaan AS-APEC di sebuah hotel terkemuka di sini.

Beliau kemudian akan ke Pusat Pameran dan Konvensyen Ariyana Danang untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC dan beliau akan menjadi salah seorang ahli panel dalam sesi Wawasan APEC Pasca-2020.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan menyampaikan ucaptama pada acara tersebut manakala Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg, akan mengambil bahagian dalam dialog.

Najib juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, Jacinta Ardern, dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, hari ini.

Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin TPP turut dijadualkan hari ini susulan pakatan perdagangan itu telah mencapai tahap penting selepas 11 negara-negara TPP memutuskan untuk meneruskan perjanjian perdagangan pelbagai hala itu tanpa AS.

Program lain yang digariskan bagi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC hari ini termasuklah sesi plenari Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Dialog ABAC dengan Pemimpin-Pemimpin APEC dan dialog tidak rasmi antara APEC dan ASEAN.

Presiden Vietnam, Tran Dai Quang, akan menganjurkan makan malam gala untuk pemimpin APEC malam ini.

APEC, diwujudkan pada 1989, merupakan forum ekonomi, perdagangan dan pelaburan bagi 21 buah negara Rim Pasifik, mewakili separuh daripada perdagangan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, AS dan Vietnam.

-- BERNAMA