EKONOMI › BERITA






Eksport Kayu Dijangka Meningkat Kepada RM23 Bilion Pada 2017


Tarikh kemaskini: 09/11/2017

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Eksport kayu dan produk kayu dijangka meningkat kepada RM23 bilion tahun ini daripada RM21.86 bilion yang dicatatkan pada 2016, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Beliau berkata kerajaan menyedari kepentingan sektor tersebut kepada ekonomi, justeru itu, pelbagai usaha seperti membangunkan keupayaan tenaga kerja dalam mereka bentuk perabot kayu telah dilaksanakan bagi memastikan kejayaannya.

"Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) juga akan terus menyediakan insentif kewangan bagi membantu usaha penggiat tempatan untuk meneroka ke pasaran global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Persidangan Antarabangsa MTC Kedua mengenai Seni Bina Kayu' di sini, hari ini sebagai mewakili Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Sementara itu, teks ucapan Mah yang dibacakan oleh Datu Nasrun, menyebut bahawa sektor kayu menyumbang 18 peratus daripada jumlah pendapatan eksport sektor komoditi dan kekal sebagai satu daripada penyumbang pertukaran asing utama Malaysia.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, eksport kayu dan produk kayu meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM15.45 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2016.....