EKONOMI › BERITA






DFTZ Jangka Transaksi Dalam Talian Yang Besar


Tarikh kemaskini: 08/11/2017

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan baru-baru ini, menjangka akan menjana transaksi dalam talian yang besar melibatkan tempahan pembelian, pergerakan perdagangan, pembayaran dan lebih banyak masuk dan keluar dari negara dan rantau ini.

"Inisiatif oleh kerajaan Malaysia dan Alibaba Group ini akan membuka laluan kepada platform perdagangan digital yang lancar yang akan menghapuskan halangan yang tidak perlu, mengurangkan kos dan mengelak atau meminimumkan kelewatan dan bebanan yang tidak perlu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex Group Datuk Seri Ivan Teh dalam kenyataan hari ini.

Fusionex menerajui konsortium yang menyediakan platform e-perkhidmatan bagi DFTZ, yang merupakan inisiatif bersama oleh kerajaan dan syarikat utama pasaran e-dagang, Alibaba.

Teh berkata DFTZ akan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana serta peniaga memanfaatkan komuniti Internet dan e-pasaran, sambil menambah faedah kos dan kecekapan akan memberi manfaat kepada pengguna yang akan menikmati produk dan penunaian yang lebih cepat, cekap dan menjimatkan.

"Inisiatif tersebut menandakan permulaan cara revolusi untuk menjalankan perdagangan dengan pantas dan besar-besaran di peringkat serantau dan global," katanya.

DFTZ merupakan hab digital pertama yang menghimpunkan pelbagai pihak utama termasuk penggiat fasilitasi perdagangan, peserta e-pasaran, agensi kerajaan, penyedia logistik, pengangkut barang serta perusahaan kecil dan sederhana.

"Platform e-perkhidmatan yang serba moden diperkasakan oleh, antaranya, teknologi data raya dan pembelajaran mesin yang akan memudahkan perdagangan dan membolehkan transaksi dijalankan dengan lebih cepat, lebih menjimatkan, lebih dipercayai dan lebih cekap," kata Teh.

-- BERNAMA