EKONOMI › BERITA






Skim Bizbina-i CGC Bantu Pelanggan Mangsa Banjir


Tarikh kemaskini: 08/11/2017

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd (CGC) akan menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, menerusi skim BizBina-i.

Dalam kenyataan hari ini, CGC berkata BizBina-i, yang dilancarkan pada Disember 2015, bermatlamat membantu pelanggan yang terjejas akibat bencana alam.

Skim ini merupakan tambahan kepada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkaitan dengan Kemudahan Bantuan Bencana BNM, dengan CGC akan menyediakan jaminan 60 peratus ke atas pembiayaan yang diperoleh daripada mana-mana bank komersial, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata bank itu prihatin ke atas situasi berkenaan dan berharap BizBina-i akan membantu mengurangkan kesukaran yang dilalui pelanggan.

CGC berkata perniagaan di bandar atau daerah yang dikategorikan sebagai 'kawasan bencana' oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri, atau dianggap oleh CGC sendiri, layak memperoleh pembiayaan BizBina-i.

Skim BizBina-i menyediakan pembiayaan mulai RM20,000 hingga RM200,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, termasuk tempoh moratorium dalam tempoh enam bulan pertama dengan perkhidmatan keuntungan hanya untuk tujuan modal kerja dan/atau pengambilalihan aset, katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan pembiayaan, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana daripada 16 cawangan CGC terdekat di seluruh negara.

Mereka juga boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan CGC di 03-7880-0088 atau e-mel csc@cgc.com.my atau layari www.cgc.com.my, katanya.

-- BERNAMA