EKONOMI › BERITA






UTM Yakin Potensi Minyak Kelapa Dara Untuk Pasaran Luar Dan Tempatan


Tarikh kemaskini: 08/11/2017


JOHOR BAHRU, 8 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yakin terhadap potensi produk minyak kelapa dara (MKD) untuk dibangunkan sebagai produk hiliran bagi industri kelapa.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk UTM, Prof Dr Mohamad Roji Sarmidi berkata, dengan menggunakan MKD sebagai bahan asas, pelbagai produk boleh dibangunkan seperti produk kesihatan tambahan, produk penjagaan diri dan kosmetik yang sesuai dipasarkan bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga luar negara.

Menyedari potensi MKD, pihaknya telah berjaya menghasilkan MKD melalui Teknologi Proses Basah Bersepadu (IWP) yang berfungsi untuk mengeluarkan MKD yang berkualiti tinggi.

"Keunikan teknologi IWP adalah kebolehupayaan menghasilkan minyak 85 peratus lebih tinggi daripada kaedah sedia ada. Pada masa yang sama proses ini dapat mengekalkan sifat fizikal, kimia dan biologi minyak kelapa dengan kualiti yang tinggi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"MKD yang kita hasilkan mengandungi antara 48 hingga 52 peratus asid laurik yang bersifat antibakteria dan antifungus. Ia juga boleh membantu mereka yang mengalami penyakit tiroid," kata beliau sambil menambah, minyak tersebut boleh digunakan secara luaran untuk masalah kulit kering, rambut kering dan kulit bayi selain digunakan dalam masakan.....