EKONOMI › BERITA






Bank Pusat ASEAN Dan Pihak Berkuasa Monetari Baharui ASA


Tarikh kemaskini: 13/10/2017

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bank-bank Pusat ASEAN dan Pihak Berkuasa Monetari bersetuju untuk membaharui memorandum persefahaman (MoU) mengenai Peraturan Swap ASEAN (ASA) untuk tempoh dua tahun mulai 17 Nov, 2017, dengan menyediakan sejumlah US$2.0 bilion sokongan kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim menandatangani MoU itu bagi pihak BNM di luar Mesyuarat Tahunan IMF di Washington, kata bank pusat itu menerusi satu kenyataan hari ini.

ASA diwujudkan pada 1977 dan memperkukuh tradisi kerjasama kewangan ASEAN yang sudah lama terjalin.

ASA merupakan sebahagian daripada inisiatif serantau bagi menggalakkan kestabilan kewangan menerusi sokongan kecairan jangka pendek kepada negara anggota yang menghadapi kesukaran sementara dalam imbangan pembayaran.

-- BERNAMA .....