EKONOMI › BERITA






Peluang Kerjasama Perniagaan Di Forum Ekonomi Qatar-Malaysia 16 Oktober Ini


Tarikh kemaskini: 13/10/2017

KUALA LUMPUR,13 Okt (Bernama) -- Lebih banyak kerjasama strategik antara kalangan komuniti perniagaan Kuala Lumpur dan Doha disasar dapat dijalinkan menerusi penganjuran Forum Ekonomi Qatar-Malaysia di sini, pada 16 Oktober ini.

Penganjuran itu bersempena kunjungan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia yang disertai delegasi termasuk 70 wakil perniagaan negara berkenaan.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MIDA berkata forum itu juga hasil kerjasama dengan pihak Kedutaan Qatar di Malaysia dan Kementerian Ekonomi dan Perdagangan Qatar serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Qatar.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata agensi itu mengambil peluang untuk menganjurkan bengkel bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran mengenai peluang pelaburan di Malaysia berikutan kehadiran delegasi Qatar dan wakil perniagaannya.

"Menerusi usaha itu, kami menyasarkan lebih banyak pakatan strategik dapat dijalinkan oleh kalangan komuniti perniagaan Malaysia dan Qatar.

"Acara itu juga tepat pada masanya ketika Qatar sedang berusaha untuk lebih berdikari dan lebih pelbagai dari destinasi pelaburan tradisionalnya di rantau Asia Barat.

"Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang pelbagai dengan kepelbagaian budaya, modal insan berkemahiran pelbagai bahasa menawarkan peluang perniagaan yang besar untuk pelabur Qatar khususnya untuk mereka yang mahukan akses pasaran lebih besar di rantau ASEAN," katanya.

Azman turut mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari Qatar khususnya dalam bidang minyak dan gas, bahan kimia dan produk berasaskannya, pemprosesan makanan, produk halal, penjagaan kesihatan, perhotelan dan pelancongan, perbankan dan kewangan Islam, pembangunan hartanah serta pendidikan dan latihan.

"Pelaburan Qatar di Malaysia masih kecil berbanding kehadiran banyak syarikat Malaysia yang bertapak kukuh di negara itu. Syarikat-syarikat Malaysia aktif dalam bidang pembinaan, runcit dan hospitaliti, pendidikan, automotif dan segmen pengurusan sisa.

"Malah, menerusi penganjuran acara Piala Dunia FIFA 2022, wujud lebih banyak peluang perniagaan seperti makanan dan minuman, pembinaan, pelancongan, pembuatan dan logistik yang boleh direbut oleh penggiat industri Malaysia," katanya.

-- BERNAMA