EKONOMI › BERITA






MTDC Akan Bantu Lebih Banyak Syarikat FinTech


Tarikh kemaskini: 10/10/2017

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sedang menilai beberapa syarikat teknologi kewangan (FinTech) yang akan bantu dari segi pembiayaan.

Pengarah Bahagian Penerokaan Teknologi, Mohammad Hazani Hassan, berkata syarikat-syarikat terbabit terlibat dalam pembangunan perisian kewangan.

"Ada beberapa (syarikat) yang sedang kami nilai. Kami mahu memastikan ia bukan satu aplikasi lain, malah sesuatu yang akan ditambah, sesuatu yang boleh menjadi sangat besar kemudian," katanya kepada Bernama.

Beliau memetik Loanstreet Sdn Bhd, laman web perbandingan pinjaman dalam talian komprehensif, yang menyediakan khidmat nasihat pinjaman dan alat untuk pelanggannya, yang merupakan antara syarikat yang memperoleh manfaat daripada bantuan seumpama itu.

Mengenai sama ada MTDC akan membantu syarikat mata wang kripto, Mohammad Hazani berkata agensi itu bersedia membantu membangunkan mata wang kripto di negara ini sementara menunggu kelulusan peraturannya.

Ada kemungkinan ia akan dikomersilkan selagi ia selari dengan pelan tindakan teknologi Malaysia dan mempunyai harta intelek, katanya.

MTDC kini menyokong 14 sektor teknologi seperti teknologi hijau, bioteknologi, elektrik dan elektronik, semi konduktor, pembiakan akuakultur, Internet untuk Segala-galanya (IoT) dan risikan.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11, MTDC menerima RM925 juta dari kerajaan untuk disalurkan menerusi pelbagai jenis dana.

Dana ini memberi sokongan kepada syarikat tempatan, membantu mereka meningkatkan kandungan teknologi, meningkatkan kapasiti, keupayaan dan daya saing.

Setakat ini, RM240 juta diagihkan manakala RM230 juta telah diluluskan untuk 14 sektor utama, termasuk teknologi hijau, elektronik dan elektrik serta bioteknologi.

-- BERNAMA