EKONOMI › BERITA






AirAsia Lancar Dua Buku Nukilan Juruterbang


Tarikh kemaskini: 07/10/2017


KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- AirAsia Bhd melancarkan dua buku yang masing-masing ditulis oleh juruterbangnya, Kapten Lim Khoy Hing dan Kapten Monika Anggreini, sempena ulang tahun ke-10 majalah dalam penerbangan AirAsia, 'travel 3Sixty'.

Buku tersebut berjudul 'Sky Tales: More Insights from a Life in the Skies', dan 'Iron Bird Monika' - merupakan edisi bahasa Inggeris bagi buku berjudul 'Burung Besi Monika: Kisah Pilot Perempuan Dengan Semangat Tiga Kali Lipat Pilot Pria'.

Hasil Kapten Lim itu menampilkan himpunan panduan, anekdot dan pandangan yang dinukilkan dalam gaya menghiburkan dan bersahaja berdasarkan kerjaya penerbangannya.

Sementara itu, 'Iron Bird Monika' mengisahkan keberanian dan keazaman yang mengiringi perjalanan Kapten Monika dalam mengejar impian menjadi juruterbang wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia sentiasa memberikan motivasi kepada warganya untuk mencapai cita-cita dan impian mereka.

"Siapa kata anda tidak boleh menjadi juruterbang dan penulis dalam masa yang sama. Saya amat bangga mempunyai dua kapten luar biasa yang bukan sahaja telah merealisasikan impian merekauntuk menghasilkan buku malah berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada orang lain," katanya semasa pelancaran buku itu di sini, hari ini.

Kedua-dua buku itu dilancarkan oleh Fernandes bersama-sama Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd dan CEO Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun serta CEO AirAsia X, Benyamin Ismail.

-- BERNAMA