EKONOMI › BERITA






Maybank: Nisbah Pinjaman Kepada Deposit Pada Paras Selesa


Tarikh kemaskini: 13/08/2017

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Maybank hari ini berkata nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) Kumpulan itu berada pada paras selesa, sebanyak 94.7 peratus pada akhir Mac 2017 dan bukan 101 peratus seperti yang dinyatakan dalam laporan Bloomberg yang dikeluarkan pada 11 Ogos 2017.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan itu Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata artikel berita dan laporan penyelidik perbankan Malaysia yang dipetiknya, tidak memberikan gambaran sebenar mengenai pengurusan aset dan liabiliti Maybank yang berhemat.

"Maybank mengurus perniagaannya pada tahap berhemat dan ketelusan yang tinggi, dan kami mengumumkan paras LDR dan nisbah liputan kecairan kami dengan jelas dalam pembentangan pendapatan suku tahunan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa bagi operasi Maybank Malaysia, LDR pada Mac 2017 mencatatkan tahap 90.6 peratus, dan angka ini kekal stabil sejak tahun lepas berbanding 90.2 peratus pada Mac 2016.

Ia sebenarnya lebih rendah dalam tempoh suku ke suku, daripada tahap 91.3 peratus yang dicatatkan pada Disember 2016, susulan peningkatan deposit yang melepasi pertumbuhan pinjaman. Pertumbuhan deposit juga disokong oleh pertumbuhan akaun semasa & akaun simpanan (CASA) kos rendah.....