EKONOMI › BERITA






Koperasi Sasar Perolehan Lebih RM40 Bilion Tahun Ini


Tarikh kemaskini: 17/07/2017


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diyakini mampu mencatat perolehan yang lebih tinggi pada masa akan datang dengan sasaran melebihi RM50 bilion menjelang tahun 2020.

Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata prestasi koperasi kian menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan perolehan hampir RM40 bilion tahun lepas.

"Tahun ini perolehan koperasi dijangka mencapai RM40 bilion dan diharapkan sentiasa meningkat bagi mencapai sasaran perolehan RM50 bilion menjelang tahun 2020 dengan wujudnya peneraju sektor dalam kalangan koperasi-koperasi berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA),"katanya pada majlis prapelancaran Hari Koperasi Negara (HKN) 2017 di sini, hari ini.

Bertemakan 'Transformasi Koperasi Ke Arah Kesejahteraan', sambutan HKN mengekalkan slogan asal iaitu 'Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu' dengan disambut secara bersiri di setiap negeri bermula 22 Julai hingga 27 Ogos ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hamzah berkata penyertaan gerai pameran sempena sambutan HKN menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

"SKM juga menjangkakan MoU yang bakal dimeterai antara pihak Koperasi dengan pelbagai pihak melibatkan nilai melebihi RM50 juta berbanding RM48 juta pada tahun lepas,"katanya.

Menurut Hamzah semua kerajaan negeri juga telah memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan Sambutan HKN 2017 sebagai usaha membangunkan koperasi di negeri masing-masing.

Antara program yang telah diatur sebagai pengisian sambutan HKN ini adalah penyampaian anugerah koperasi cemerlang, ekspo dan jualan, demonstrasi dan promosi produk koperasi serta pelbagai acara keceriaan dan pertandingan.

-- BERNAMA